arena

Raonic langkah kanan

Oleh AFP

DELRAY BEACH, Amerika Syarikat: Bekas pemain nombor tiga dunia Milos Raonic memulakan kempennya tahun ini dengan bergaya apabila membenam Taro Daniel 6-1, 7-5 pada pusingan pertama Terbuka Delray Beach, awal pagi tadi.

Raonic menghuni ranking ke-32 dunia yang amat berbeza berbanding tahun lalu apabila dia hadir di Delray Beach menduduki tangga keempat dalam Jelajah ATP.

Kecederaan mengehadkan pembabitan Raonic di gelanggang pada 2017 dan kemenangan itu adalah yang kedua buatnya di peringkat jelajah dalam tempoh enam bulan.

Lantas kemenangan dua set terus ke atas pemain Jepun, Daniel awal pagi tadi menandakan hari-hari lebih baik buatnya ketika dia memburu kejuaraan jelajah kesembilan karier.

“Ia perkara yang bagus saya mampu menang hari ini dan ia memberikan saya lebih keyakinan untuk bertindak lebih baik esok,” kata pemain pilihan kesembilan itu.

“Saya hanya memikirkan perkembangan dari hari ke hari dan cuba meraih kemenangan sebanyak mungkin. Itulah perkara paling penting.”

Raonic mempunyai impian yang belum dicapai di Delray Beach. Dia layak ke perlawanan akhir tahun lalu namun terpaksa menarik diri menentang pemain AS, Jack Sock kerana kecederaan kaki. Dia mungkin bertemu Sock pada separuh akhir tahun ini jika kedua-duanya menang dua perlawanan masing-masing selepas ini.

“Jelas selepas lama tidak bermain, fokus dan tahap permainan saya tidak menentu,” kata Raonic. “Saya perlu lebih konsisten dan berdisiplin.”

Raonic akan berdepan pemain AS, Steve Johnson, yang tewas lapan daripada sembilan perlawanan terakhirnya sebelum menyingkirkan pemain Georgia, Nikoloz Basilashvili 6-3, 6-4 dalam masa 71 minit.

Disiarkan pada: February 21, 2018 @ 4:25pm
d