arena

Iskandar mara pusingan kedua Terbuka Switzerland

PEMAIN perseorangan lelaki kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin mengetuai kemaraan pemain negara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland, di Basel, semalam.

Iskandar yang mara daripada pusingan kelayakan, terpaksa bekerja keras sebelum mengatasi pemain bukan pilihan Finland, Heino Eetu, dengan 21-23, 21-14 dan 21-10 dalam pusingan pembukaan kejohanan yang diadakan di St Jakobshalle Arena, menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF), www.bwfbadminton.com.

Iskandar dijangka bertemu pemain Denmark, Jan O Jorgensen dalam pusingan kedua, pada hari ini selepas bekas pemain nombor empat dunia itu mengejutkan pemain pilihan kelapan negara, Lee Zii Jia, 21-15 dan 21-14 dalam satu lagi pertemuan pusingan pertama.

Soong Joo Ven juga berjaya ke pusingan kedua selepas menewaskan Adulrach Namkul dari Thailand; 24-22 dan 21-19.

Gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yil turut melangkah ke pusingan kedua selepas mencatat kemenangan 16-21, 21-19 dan 21-7 dalam perlawanan menentang pasangan Titon Gustaman-Stilian Makarski (Indonesia / Bulgaria).

Bagaimanapun rakan sepasukan mereka, Shia Chun Kang-Tan Wee Gieen, tersingkir daripada kejohanan itu selepas kalah 9-21 dan 19-21 kepada pilihan teratas, Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark.

Harapan negara dalam beregu campuran luntur selepas dua pasangan - Hoo Pang Ron-Peck Yen Wei dan Chen Tang Jie-Cheah Yee See ditewaskan lawan masing-masing dalam pusingan pembukaan pada Selasa.

Malaysia tidak menghantar sebarang wakil perseorangan dan beregu wanita dalam kejohanan yang menawarkan hadiah berjumlah AS$150,000 (RM586,313) itu. -BERNAMA

Disiarkan pada: February 22, 2018 @ 10:50am
d