arena

Real menang walau tanpa Ronaldo

CRISTIANO Ronaldo direhatkan ketika Real Madrid bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-1 di Leganes, awal pagi tadi dan kembali ke kedudukan ketiga saingan La Liga.

Unai Bustinza meletakkan Leganes di depan dalam aksi di Butarque, untuk meningkatkan harapan tuan rumah mencipta satu lagi kejayaan besar - hanya seminggu selepas menyingkirkan Real daripada saingan Copa del Rey.

Bagaimanapun juara bertahan kelab Eropah itu menukar keputusan pertembungan tetangga Madrid sebelum tamat babak pertama, dengan Lucas Vazquez dan Casemiro masing-masing menemui sasaran.

Sergio Ramos memastikan kemenangan dengan penalti lewat permainan, dan Real kini mengumpul 16 mata daripada keseluruhan 18 dalam La Liga.

Masih ada jurang besar 14 mata di belakang pendahulu yang belum tewas Barcelona, namun mereka naik ke kedudukan ketiga di atas Valencia dan tujuh mata di belakang pencabar dari bandar raya sama, Atletico yang menghuni tangga kedua.

Dengan banyak perlawanan akan dihadapi pasukannya, jurulatih Zinedine Zidane merehatkan Ronaldo bagi saingan dijadualkan semula itu, sebelum ini ditunda pada Disember kerana Real terbabit dalam Piala Dunia Kelab.

Pemain seperti Toni Kroos, Luka Modric dan Marcelo semuanya cedera dan sedang pulih bagi saingan kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara, perlawanan kedua menentang Paris Saint-Germain dalam tempoh dua minggu, ini adalah peluang buat sebahagian pemain Real yang jarang bermain menunjukkan aksi sebenar.

Theo Hernandez dan Isco adalah sebahagian pemain yang memulakan permainan, namun Gareth Bale kembali ke bangku simpanan kerana sedang bergelut mencari prestasi sebenarnya. - AFP

Disiarkan pada: February 22, 2018 @ 11:08am
d