arena

Permulaan baik Natasha

PEMAIN golf remaja negara, Natasha Andrea Oon menampilkan aksi cemerlang selepas melakukan dua bawah par 69 pada pusingan pembukaan Kejohanan Golf Amatur Wanita Asia Pasifik 2018 di Kelab Golf Sentosa di Singapura, semalam.

Pemain berusia 16 tahun itu, bagaimanapun bergelut dengan keadaan lapangan golf sepanjang 5.904 meter itu pada awal saingan apabila melakukan bogey di lubang kedua sebelum bangkit mencatat empat birdie pada sembilan lubang pertama.

Dia sekali lagi melakukan bogey, namun kembali mendapatkan rentak dengan mencatat satu lagi birdie pada sembilan lubang kedua untuk berkongsi di kedudukan kelima bersama-sama tujuh pemain lain.

Pada pusingan semalam, Oon ternyata berpuas hati dengan prestasinya meskipun gagal mendapatkan rentak pada awal permainan, sambil berharap dapat melakukan permulaan yang lebih baik pada pusingan kedua hari ini.

“Saya melakukan bogey pada awal permainan, namun kemudian mencatat beberapa birdie dan mula mendapatkan rentak permainan,” katanya seperti dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan penganjur.

“Padang golf ini panjang, tetapi saya suka beraksi di sini. Keadaan lapangan golf ini sangat baik. Kita beraksi di padang golf berkelas LPGA,” kata Oon yang tampil dua kali pada Kejohanan Golf Malaysia Sime Darby LPGA.

Lima lagi pemain Malaysia berada di kedudukan terbawah dengan Liyana Durisic berkongsi di tempat ke-18, Qistina Balqis Azhar (berkongsi tempat ke-41) dan Ashley Lau Jen Wen (berkongsi tempat ke-44), manakala Winnie Ng Yu Xuan dan Geraldine Xiao Xuan Wong, masing-masing di kedudukan ke-48.

Bintang muda Thailand, Atthaya Thitikul memberi amaran awal betapa beliau serius untuk merangkul kejuaraan itu apabila mencatat enam bawah par 65 untuk berkelebihan satu pukulan ke atas pemain remaja Jepun, Yuka Yasuda.

Seramai 83 pemain golf amatur dari 18 negara, yang menyaksikan 15 daripada mereka berada di kedudukan 100 teratas dalam Ranking Golf Amatur Dunia (WAGR) bersaing pada kejohanan sulung itu.

Kejohanan yang diperkenalkan oleh Konfederasi Golf Asia Pasifik (APGC) dan R&A itu adalah untuk mencungkil bakat dan menyediakan laluan kepada pemain wanita amatur elit Asia beraksi di pentas antarabangsa.

Keputusan pusingan pertama:

65 – Atthaya Thitikul (THA) ;

66 – Yuka Yasuda (JPN);

68 – Mone Inami (JPN), Hae-ran Ryu (KOR);

69 – Yuna Nishimura (JPN), Wenyung Keh (NZL), Chayanit Wangmahaporn (THA),

Yunji Jeong (KOR), Kan Bunnabodee (THA), A-Yean Cho (KOR), NATASHA ANDREA OON (MAS), Thitapa Pakdeesettakul (THA);

70 -- Son Yujeong (KOR), Lois Kaye Go (PHI), Julianna Hung (NZL), Yuri Yoshida (JPN), Mohan Du (CHN);

71 – Clare Legaspi (PHI), LIYANA DURISIC (MAS), Kirsty Hodgkins (AUS), Paphangkorn Tavatanakit (THA), Bianca Pagdanganan (PHI), Thin Wai Khaing (MYA).

-- BERNAMA

Disiarkan pada: February 22, 2018 @ 12:23pm
d