arena

Thiago tekad kecewakan JDT II

Oleh Rodly Fadly

KELIBAT Thiago Augusto Fernandes dalam kesebelasan utama FELDA United mampu memberi igauan buruk kepada Johor Darul Ta’zim II (JDT II) apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Isnin ini.

Penyerang import dari Brazil itu disahkan pulih serta cergas sepenuhnya daripada kecederaan hamstring dan dijangka akan dimanfaatkan oleh jurulatih B Sathianathan bagi menajamkan lagi jentera serangan The Fighters.

Sudah tentu kehadiran Thiago menambahkan lagi sengat FELDA yang setakat ini sudah merekod 11 jaringan dalam tiga perlawanan dengan lima daripadanya disumbangkan oleh rakan senegaranya, Gilberto Fortunato.

Thiago yang ditemui pada sesi latihan pagi tadi ternyata sangat teruja untuk kembali beraksi selepas sekadar menjadi penonton ketika kelabnya mengalahkan UKM FC 2-1 dan PDRM 6-2 sambil mengambil watak sebagai pemain gantian semasa menewaskan Pulau Pinang 3-0.

“Sebenarnya, saya sudah bersedia untuk diturunkan sepenuh masa dalam perlawanan menentang Pulau Pinang tempoh hari namun jurulatih mengambil sikap berhati-hati kerana bimbang kecederaan saya berulang.

“Bagi perlawanan menentang JDT II, saya harap diturunkan dalam kesebelasan utama kerana sudah tidak sabar untuk kembali beraksi serta menjaringkan gol.

“Saya yakin, jika tidak dibelenggu kecederaan, saya mampu menamatkan musim ini sebagai antara penjaring utama dalam Liga Perdana.

“Apatah lagi, kali ini FELDA ada Gilberto, seorang penyerang yang hebat. Saya percaya gandingan kami akan menghasilkan lebih banyak gol untuk kelab ini,” katanya.

Mengenai perlawanan menentang JDT II, Thiago yakin The Fighters mampu meneruskan momentum kemenangan selepas mengumpul mata maksimum daripada tiga perlawanan setakat ini.

“Sudah tentu kami mahu membawa pulang tiga mata walaupun bermain di tempat lawan. Ini penting, bukan saja untuk mengekalkan rekod bersih malah menjarakkan diri lebih jauh daripada pencabar.

“Namun, saya akui ia bukanlah perlawanan mudah kerana lawan juga pasukan yang mantap selepas diperkuatkan oleh beberapa pemain yang pernah mewakili JDT,” ujar Thiago.

Disiarkan pada: February 22, 2018 @ 3:53pm
d