arena

Nasib diketahui bulan depan

Oleh Zulfaizan Mansor

BENTUK hukuman yang bakal dikenakan ke atas pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran untuk bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) akan diputuskan Lembaga Pengarah Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), awal bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam bagaimanapun tidak menolak kemungkinan pasukan terbabit akan diberi peluang ‘kedua’ termasuk diberi ruang mengemukakan rayuan.

“Seperti biasa, kes ini akan dibawa ke mesyuarat Lembaga Pengarah pada minggu pertama bulan depan dan segala keputusan (hukuman) hanya akan ditentukan oleh Lembaga Pengarah.

“Kalau Lembaga Pengarah memberi hukuman ringan, itu mandat mereka. Tapi, bila keputusan dibuat, mungkin masih ada lagi ruang untuk pasukan mengemukakan rayuan.

“Contohnya, beberapa pasukan dipotong enam mata musim lalu, namun selepas membuat rayuan, hukuman itu dikurangkan kepada tiga mata,” katanya.

Isnin lalu, FMLLP mendedahkan empat pasukan Liga Super termasuk Kelantan, Selangor, PKNS dan Kuala Lumpur serta enam dari Liga Perdana iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM FC gagal melengkapkan dokumen pendaftaran atau menghantar dokumen melebihi tarikh akhir ditetapkan, 3 Februari lalu.

Malah, pasukan berkenaan berpotensi dikenakan hukuman potong mata seperti yang dilakukan FMLLP ke atas Kelantan, T-Team, ATM dan Perlis musim lalu.

Sukan NSTP semalam bagaimanapun melaporkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah menyifatkan hukuman potong mata ke atas pasukan terbabit satu tindakan kejam.

Namun, Kevin menjelaskan pihaknya bukan mahu menganiaya mana-mana pasukan, tetapi lebih kepada membendung masalah sama terus berulang pada masa depan.

“Kalau kita tidak tegas orang kata FMLLP tidak buat kerja, tapi bila kita bertindak tegas orang marah pula. Seperti saya katakan tujuan kita bukan untuk menghukum dan menganiaya pasukan.

“Memang ada pasukan berdepan kesulitan melengkapkan pendaftaran kerana beberapa masalah yang dihadapi mereka. Kita sebenarnya sedia membantu jika mereka (pasukan) sentiasa berhubung dengan FMLLP.

“Walaupun kita sedia membantu ada juga pasukan yang mendiamkan diri sedangkan peringatan sudah diberikan mengenai keperluan dan tarikh tutup melengkapkan pendaftaran pasukan,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2018 @ 5:50pm
d