arena

Pengorbanan kami sekeluarga berbaloi: Abdullah

Oleh Fadhli Ishak

BAPA Hafizh Syahrin (gambar), Abdullah Harun bersyukur keazaman dan usaha gigih sepanjang beberapa tahun lalu kini membuahkan hasil apabila anaknya berjaya menyertai saingan MotoGP bersama pasukan Monster Yamaha Tech 3. 

Abdullah, 50, berkata, pencapaian bersejarah itu adalah impian menjadi kenyataan buat Hafizh dan keluarganya. 

Hafizh muncul pelumba Asia Tenggara pertama bersaing dalam MotoGP.

“Kerja keras dan pengorbanan, cukup berbaloi,” kata Abdullah yang memupuk bakat Hafizh dalam perlumbaan sejak kecil lagi. 

“Ini ialah impiannya selama ini dan keluarga mahukan untuknya. Kami amat bersyukur ia menjadi kenyataan.” 

Abdullah sendiri mempunyai sejarah dalam sukan pemotoran sebagai mekanik dan dia memperkenalkan Hafizh kepada motosikal mini ketika anaknya masih kecil lagi. 

Beliau bagaimanapun terkejut dengan perpindahan Hafizh dari Moto2 ke MotoGP yang berlaku lebih cepat dari jangkaan.

“Saya jangkakan dia akan mengharungi musim terakhir dalam saingan Moto2 tahun ini sebelum naik ke MotoGp musim depan, jadi ia agak mengejutkan. Hafizh sendiri mempunyai sasaran tinggi untuk dirinya dalam Moto2 tahun ini tetapi apabila peluang ini muncul, saya beritahu kepadanya untuk memikirkannya masak-masak.

“Saya kata peluang sebegini tidak muncul dua kali dan dia perlu bertanya kepada diri sendiri sama ada sudah bersedia. Dia kata akan menyahut cabaran. Saya percaya dia sudah melakukannya dengan baik setakat ini. Keputusan dicatatnya ketika ujian di Buriram baru-baru ini membuktikan potensinya,” katanya.

Abdullah, yang kini bersama TKKR Racing Team di Thailand untuk ujian pra-musim Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) berkata, beliau bercadang untuk mengadakan kenduri doa selamat buat Hafizh sebelum musim MotoGP bermula.

Kalendar perlumbaan musim ini akan menyingkap tirainya di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada 18 Mac.

Disiarkan pada: February 22, 2018 @ 7:21pm
d