arena

Liga M = liga pencen?

Oleh Syafiq Aznan

ADAKAH saingan Liga Malaysia (Liga M) boleh dianggap sebagai ‘liga persaraan’ selepas kebanjiran ramai pemain import berusia 30 tahun ke atas pada musim ini?

Ini kerana berdasarkan statistik, 48.6 peratus pemain import yang berdaftar dengan semua pasukan Liga M sudah boleh dikira sebagai pemain ‘tua’ dan jumlah itu membabitkan 45 pemain daripada 108 pemain import secara keseluruhan.

Meskipun pengalaman dilihat menjadi aset penting buat kelompok pemain ini, namun yang menjadi kerisauan sekiranya mereka sudah melepasi tahap kemuncak sehingga gagal memberikan persembahan terbaik sekali gus menjadi punca digugurkan tidak sampai semusim beraksi bersama pasukan mereka.

Daripada 60 pemain import yang beraksi dalam Liga Super, seramai 26 pemain berusia 30 tahun ke atas dengan pemain paling berusia adalah penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa yang berusia 36 tahun diikuti pemain tengah Korea Selatan yang beraksi bersama Negeri Sembilan, Kim Do Heon (35).

Bagi saingan Liga Perdana pula, seramai 19 pemain berusia 30 tahun ke atas daripada 48 pemain import yang didaftarkan yang menyaksikan tiga pemain berusia 34 tahun iaitu pertahanan Pulau Pinang, Ugo Ukah, penyerang UiTM FC, Dao Bakary dan Kim Chigon (Sarawak).

Berdasarkan pecahan mengikut pasukan Liga Super, Perak menjadi pemain paling ramai mendaftarkan pemain berusia 30 tahun ke atas apabila mereka mendapatkan khidmat empat pemain dalam golongan usia terbabit iaitu Robert Cornthwaite (32), Leandro Dos Santos (31), Wander Luiz (30) dan Misagh Bahadoran (31) dengan seorang lagi pemain import mereka iaitu Gilmar berusia 29 tahun.

Tiga pasukan membariskan tiga pemain import berusia 30 tahun ke atas iaitu Kedah yang mendaftarkan pemain tengah Brazil, Sandro da Silva (34), Alvaro Silva (33) dan Pablo Pallares (31) selain Melaka United (MU) yang membariskan pemain tengah Portugal, Tiago Filipe (32), Steven Gary (31) dan Jeon Wooyoung (30).

Selain Kedah dan MU, PKNP FC turut membariskan tiga pemain import berusia 30 tahun ke atas iaitu Clovis Franklin (32), Luben Gueorguiev (32) serta Ritus Krjauklis (31) dengan PKNS FC menjadi satu-satunya pasukan yang tidak memiliki pemain import ‘tua’.

Bagi saingan Liga Perdana, tiga pasukan meletakkan tiga pemain import berusia 30 tahun ke atas iaitu Kuantan FA yang membariskan Andre Francisco Williams (32), Zarko Korac (30) serta Alexandru Tudose (30) dan Pulau Pinang yang mendapatkan khidmat Ugo Ukah (34), Kang Seungjo (32) dan Ken Ilso (31).

Satu lagi pasukan adalah Sarawak yang mendaftarkan Kim Chigon (34), Nebojsa Marinkovic (31) dan Mateo Roskam (30) sementara PDRM serta UiTM FC menjadi dua pasukan yang tidak memiliki pemain import berusia 30 tahun ke atas musim ini.

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 5:50pm
d