arena

Azroy idam lebur rekod Amirul

Oleh Mohd Khairie Khalid

SEMANGAT bekas pemenang pingat emas dan pemegang rekod Sukan Komanwel, Amirul Hamizan Ibrahim memberikan tonik tambahan buat atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad menghadapi Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia April ini.

Malah, Azroy yang akan bertanding dalam kategori 56 kilogram (kg) mengakui cukup gembira kerana mendapat nasihat Amirul yang juga pengurus pasukan menghadapi temasya kedua terbesar dunia itu.

“Amirul pernah memberitahu saya rekod Komanwel dalam acara snatch (115kg) dan clean & jerk (145kg) yang dilakukannya di Manchester 2002 sudah bertahan terlalu lama dan dia berharap saya dapat memecahkan rekod berkenaan. 

“Ini memberikan saya semangat dan keyakinan untuk memecahkan rekod Amirul  dalam kedua-dua acara berkenaan. Lagipun, saya pernah mengangkat 117kg dalam acara snatch ketika Kelayakan Sukan Komanwel di Gold Coast, tahun lalu dan angkatan peribadi terbaik 143kg dalam clean & jerk di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Namun, saya akui clean & jerk agak susah kerana ia terlalu tinggi tetapi saya akan usaha sebaik mungkin,” kata Azroy pada sidang media persediaan atlet Podium ke Sukan Komanwel yang berlangsung di Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.

Mengulas lanjut, Azroy yang juga rakan sekampung Amirul di Rompin, Pahang mengakui tertekan kerana memikul tanggungjawab untuk mendapatkan pingat emas di temasya itu, apatah lagi, ketika atlet sandaran, Mohd Hafifi Mansor digantung gara-gara positif ujian doping.

“Ada sedikit tekanan kerana jika dulu Malaysia sasarkan dua emas, tetapi selepas Hafifi digantung, saya memikul tanggungjawab besar. Jadi saya kena kerja keras, jaga disiplin dan pemakanan.

“Ia bagaikan tidak ada kehidupan buat saya dalam masa empat bulan ini kerana rutin saya hanyalah makan, tidur serta menjalani latihan,” katanya yang bakal memulakan aksi pada 5 April.

Azroy yang ketika ini menghuni ranking pertama Komanwel turut berharap penantian selama 10 tahun untuk menyertai temasya itu berbaloi dengan meraih emas sempena ulang tahun kelahiran ke-24 dirinya yang jatuh sehari sebelum dia beraksi.

Sebelum ini Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengesahkan seramai 10 atlet akan membawa cabaran negara di Komanwel, dengan dua daripadanya atlet Program Podium iaitu Azroy dan Muhamad Aznil Bidin (62kg).

 

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 7:57pm
d