arena

Keserasian pemain resipi kejayaan Helang Merah

Oleh Izzali Ismail

PERSEFAHAMAN antara pemain yang semakin erat dalam pasukan menjadi ramuan Kedah untuk terus bangkit memburu kemenangan seterusnya apabila berdepan PKNS FC dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, Selangor, Ahad ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata persefahaman dan kesesuaian dalam pasukan dilihat semakin kukuh berbanding sejak awal bulan lalu.

“Kita dapati sudah ada perubahan dari segi kesesuaian antara pemain yang kita lihat semakin baik dan ini akan mendorong pasukan menjadi lebih mantap dalam mengharungi perlawanan seterusnya yang lebih mencabar.

“Sudah menjadi kebiasaan apabila di awal musim ini persiapan memerlukan kesesuaian dengan beberapa perubahan yang ada dalam pasukan untuk pemain dalam tempoh untuk menyesuaikan diri dalam pasukan.

“Agak berbeza sedikit berbanding awal bulan ini, sementara kita nak dapat sesuaikan diri dengan pemain yang kita bawa termasuk yang terbaru dari Indonesia yang melengkapkan kuota pemain import di mana sudah ada perubahan dari segi kesesuaian.

“Jika sudah sesuai maka itu akan lebih mantapkan corak persembahan pasukan dalam perlawanan yang akan kita dihadapi nanti,” kata Ahmad Bashah selepas hadir menyaksikan latihan skuad Helang Merah di padang latihan Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) Jalan Sukan Menanti, di sini hari ini.

Berkaitan segelintir penyokong dan peminat yang tidak berpuas hati dengan prestasi semasa pemain import dalam pasukan, Ahmad Bashah berkata, itu sudah menjadi kebiasaan kepada semua mana pasukan terutama pada peringkat awal musim.

“Sebab itu setiap kali ada persoalan seperti ini di awal musim.. kita perlu beri peluang dan bagi masa sedikit... terutama untuk ketua jurulatih yang nak sesuaikan diri dengan pemain dan selepas itu untuk mengatur strategi dengan penolong jurulatih.

“Lepas tu bila kita bawa masuk pemain import baharu, corak permainan pemain berkenaan dengan pemain lama juga perlu disesuaikan, namun kita yakin lama kelamaan mereka akan dapat menyesuaikan diri dan memahami tugas serta peranan masing masing,” katanya.

Tahun lalu, Kedah mencatatkan dua keputusan seri bermula seri 1-1 di Stadium Darul Aman pada April dan kemudian seri 4-4 di Stadium Shah Alam pada Mei.

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 9:22pm
d