arena

Insentif RM50,000 buat skuad dodgeball

Oleh Saiful Affendy Sapran

PASUKAN dodgeball negara menerima suntikan semangat menjelang Piala Dunia di New York, Amerika Syarikat (AS) Ogos depan selepas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan pemberian insentif RM50,000.

Jelas Khairy, ganjaran itu adalah rentetan daripada pelbagai kejayaan yang diraih pasukan negara termasuk merangkul pingat emas dalam ketiga-tiga kategori di Kejohanan Dodgeball Asia Pasifik 2017 di Kuala Lumpur (APC2017KL) tahun lalu.

Kejayaan di kejohanan itu menyaksikan pasukan lelaki, wanita dan campuran negara layak beraksi di New York.

Khairy turut mengumumkan pihaknya akan menanggung tunggakan kos penganjuran APC2017KL termasuk sewaan stadium Axiata Arena yang berjumlah RM120,000.

“Saya sudah mengikuti rapat perkembangan pasukan dodgeball sebelum mereka meraih kejayaan lagi.

“Saya percaya anda mampu menjadi pasukan dodgeball yang terbaik di dunia,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam anjuran Persekutuan Dodgeball Malaysia, malam ini.

Khairy turut berharap pasukan dodgeball negara dapat melakukan kejutan di New York.

Jelas beliau, dengan pelbagai pencapaian yang dilakar sebelum ini, pasukan dodgeball negara seharusnya mampu membuktikan mereka adalah antara yang terbaik di kejohanan itu.

“Saya amat berharap anda dapat melakukan kejutan dan membuktikan kita adalah pasukan terbaik,” katanya.

Pasukan dodgeball negara mula mencipta nama apabila pasukan lelaki muncul naib juara Kejohanan Piala Dunia di Manchester, dua tahun lalu.

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 10:55pm
d