arena

Jamin tiada insiden keganasan di Piala Dunia

Oleh AFP

MOSCOW: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkata badan induk itu ‘mempercayai sepenuhnya’ kemampuan Russia bagi memastikan keselamatan penganjuran Piala Dunia sekali pun satu lagi kes keganasan tercetus di Sepanyol, awal pagi tadi.

Kekecohan itu tercetus susulan pertembungan membabitkan penyokong kelab dari Russia, Spartak Moscow dengan Athletic Bilbao bagi perlawanan Liga Europa di Sepanyol yang menyaksikan seorang pegawai polis meninggal dunia.

Pegawai polis dari wilayah Basque itu mengalami serangan jantung ketika ratusan polis bertembung dengan peminat Spartak dan Bilbao sebelum perlawanan itu berlangsung.

Jabatan keselamatan tempatan begitupun berkata kematiannya tidak dikaitkan secara ‘terus’ terhadap kecederaan yang diperolehnya ketika pertempuran dengan peminat Russia yang memakai penutup kepala berwarna hitam.

Dia “secara tiba-tiba jatuh sakit ketika insiden itu sedang memuncak... Sekali pun dengan pantas dikejarkan ke hospital, dia mengalami serangan jantung,” kata jabatan keselamatan Basque.

Polis berkata mereka menahan sembilan orang - termasuk tiga peminat Russia dan seorang rakyat Poland - di mana akhbar harian sukan Moscow, Sport Express melabel mereka sebagai peminat ‘hooligan’ sayap kanan Spartak dan sayap kiri Basque.

FIFA berkata mereka “amat kesal” dengan insiden berkenaan tetapi tidak menyalahkan sesiapa.

“Dengan keselamatan di Piala Dunia 2018 sebagai keutamaan, FIFA meletakkan kepercayaan penuh terhadap aturan keselamatan dan konsep keselamatan yang komprehensif yang dibangunkan oleh pihak berkuasa Russia dan Jawatankuasa Penganjur Tempatan,” kata jurucakap FIFA kepada AFP.

“Seperti yang ditunjukkan ketika Piala Konfederasi tahun lalu, Russia sudah pun mempunyai standard keselamatan yang tinggi untuk memenuhi kehendak yang tertentu bagi acara sukan besar seperti ini.”

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 11:09pm
d