arena

Jelius rangka <strong>strategi</strong> baru hadapi Sarawak

Oleh Ryan Stanley

Kota Kinabalu: Sabah bakal tampil dengan formasi baharu apabila turun menentang Sarawak pada aksi ‘Derby Borneo’ di Stadium Likas, malam ini.

Pengendalinya, Jelius Ating berkata, ia susulan kehadiran pertahanan import baharu mereka, Francis Kasonde yang menyertai pasukan itu dua minggu lalu.

“Kami akan menggunakan formasi dan taktikal baharu dengan mengutamakan penguasaan di bahagian tengah. Saya juga gembira kerana pemain cepat menyesuaikan diri dengan taktikal ini. Kami akan menggunakan lima pemain di bahagian tengah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jelius berkata, pemain pertahanan, Randy Baruh akan ‘disimpan’ bagi memberi laluan kepada Kasonde untuk mengetuai posisi berkenaan.

“Kebetulan juga Randy mengalami sedikit kecederaan pangkal paha dua hari ini lalu, namun tidak serius dan dia mungkin akan bersedia di bangku pemain simpanan,” katanya.

Selain menggantikan Randy dengan Kasonde, Jelius berkata, dia akan mengekalkan kesebelasan utamanya sebelum ini.

Jurulatih berusia 47 tahun itu dijangka mengekalkan Robson Rendy Rining sebagai penjaga gol dengan dibantu tiga pertahanan iaitu Kasonde, Rawilson Batuil dan Maffry Balang.

Pemain import dari Korea Selatan, Heo Jaenyong pula akan mengemudi bahagian tengah bersama Mohd Azzizan Nordin, Sabri Sahar, Maxsius Musa, dan Jenius Karib.

Sementara itu, dua penyerang import iaitu Lee Gil Hoon dan Hector Omar Ramos kekal sebagai pemburu jaringan buat Sang Badak.

Sabah kini berada di kedudukan kedua Liga Perdana dengan tujuh mata hasil daripada dua kemenangan dan sekali seri.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 2:41am
d