arena

Alonso mahu 'kacau' Vettel, Hamilton

Oleh Reuters

MADRID: Juara dunia dua kali Fernando Alonso meluahkan nada optimis selepas memandu kereta pertama Formula Satu McLaren dengan jentera Renault di Sepanyol hari ini.

Pelumba Sepanyol itu yang tiga tahun memandu jentera Honda dengan pencapaian mengecewakan, memandu MCL33 dalam satu siri penggambaran pramusim di litar Navarra di utara Sepanyol.

“Ia sesuatu yang hebat. Pastinya ia detik yang istimewa memandangkan anda memandu kereta buat pertama kali. Semuanya bagus,” katanya.

“Kereta ini bergerak lancar, semua orang gembira.

“Saya rasa keadaan akan semakin baik,” katanya apabila ditanya sama ada dia mempunyai mesej buat peminat yang sekian lama menderita.

“Kami terus bermotivasi, saya fikir pasukan semakin kuat ketika ini berbanding tiga tahun lalu. Apa yang tidak membunuh anda, menjadikan anda lebih kuat.”

McLaren tidak memenangi sebarang perlumbaan Grand Prix sejak 2012 dan menamatkan musim lalu di tangga kesembilan berbanding 10 pasukan.

Jentera jingga dan biru yang baru itu diperkenalkan dalam talian sehari lebih awal dan akan diuji sepenuhnya buat kali pertama di Barcelona pada Isnin.

“Ia satu perkembangan penting buat McLaren. Selepas beberapa tahun tidak berjuang merebut kejuaraan, kini masanya untuk merebut kedudukan itu,” kata Alonso.

“Sewaktu sesi ujian musim sejuk, kami perlu memastikan dapat mengoptimakan pakej ini tetapi setakat ini saya gembira dan amat optimis, saya fikir pasukan melakukan tugas menakjubkan dalam tempoh beberapa bulan lalu,” kata bekas pemandu Renault dan Ferrari.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 1:12pm
d