arena

'Macam tu la boh...'

Oleh Mohd Amin Jalil

IRFAN Bakti Abu Salim memuji karektor pemain Terengganu FC (TFC) yang tidak putus asa apabila berjaya menewaskan Negeri Sembilan 2-1, dalam aksi Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Ketua jurulatih itu berkata, walaupun anak buahnya tersentak seketika menerusi jaringan penyamaan Mohd Fakrul Aiman pada minit ke-72, tetapi pemainnya terus fokus memburu kemenangan dan ia terhasil menerusi ledakan pemain gantian Lee Jun-hyeob pada minit terakhir perlawanan.

“Pujian kepada pemain yang tidak mudah putus asa sehingga berjaya menjaringkan gol kemenangan pada penghujung perlawanan.

“Sebaik Negeri Sembilan menjaringkan gol penyamaan itu, saya nasihatkan pemain supaya terus fokus untuk mendapatkan kemenangan dan terbukti mereka berjaya merealisasikannya.

“Saya amat puas hati dengan persembahan yang mereka pamerkan malam ini (malam tadi) dan semua pemain memberikan komitmen tinggi sepertimana yang dirancangkan,” katanya selepas perlawanan malam tadi.

Irfan Bakti berkata, kejayaan meraih tiga mata di gelanggang lawan bukan suatu tugas mudah, tetapi pemain TFC berjaya menterjemahkannya sekali gus mempertahankan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan liga.

Beliau berkata, walaupun persembahan Negeri Sembilan dilihat lebih baik berbanding aksi mereka ketika tewas 0-3 kepada Melaka United, tetapi atas faktor disiplin dan kerjasama sepasukan yang tinggi dalam kalangan pemain skuad Penyu, kemenangan yang dicari akhirnya membuahkan hasil.

“Saya juga puas hati dengan persembahan Ashaari (Samsudin) yang dilihat masih menyengat apabila menjaringkan gol pertama sekali gus menjadi pembakar semangat rakan sepasukan.

“Kami berjaya menguasai sebahagian tempoh separuh masa pertama dan berjaya mencipta banyak peluang jaringan.

“Jika setiap peluang itu dapat dimanfaatkan sudah tentu kami mampu menjaringkan lebih banyak gol sekali gus membunuh pergerakan dan semangat lawan,” katanya.

Irfan Bakti yakin kemenangan kedua yang dicatatkan pasukannya itu selepas menewaskan Selangor sebelum ini, mampu meningkatkan lagi keyakinan pemain dalam mengharungi aksi berikutnya.

“Saya harap pemain tidak cepat berpuas hati sebaliknya terus fokus kerana cabaran dalam liga sebenarnya baru bermula dan pasukan perlu mengekalkan momentum untuk pastikan lebih banyak kemenangan dapat dicapai,” katanya.

TFC kini mengumpul lapan mata selepas empat perlawanan hasil dua kemenangan dan dua seri.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 2:04pm
d