arena

KAFA intai tiga jurulatih

Oleh Attirmidzie Rahman

TIGA jurulatih import, Dejan Antonic, Darren Stewart dan Fajer Ibrahim berada dalam radar Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) untuk diteliti sebagai Ketua Jurulatih baharu skuad Kijang Merah itu musim ini.

Mengesahkan perkara itu, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata dua calon jurulatih iaitu Darren dan Fajer sudah tiba di Kota Bharu dan bakal menyaksikan perlawanan antara Kelantan dengan Perak malam ini.

Katanya, kedatangan calon itu ke Kota Bharu antara lain bagi mengadakan rundingan serta meneliti beberapa aspek penting sebelum membuat sebarang keputusan bersama pihaknya.

“Kita masih meneliti tiga lagi calon jurulatih yang mana kita pilih antara terbaik bagi membimbing pasukan Kelantan.”

“Antara jurulatihnya ialah Dejan Antonic dari Serbia, Darren dari Australia manakala Fajer dari Syria...Darren dan Fajer sudah tiba di Kota Bharu dan dijangka hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam ini.

“Mereka ini masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri oleh itu kita masih belum memuktamadkan sebarang keputusan dan Insya-Allah satu keputusan tepat akan diberitahu dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Sukan NSTP melaporkan bekas jurulatih kebangsaan Syria, Fajer Ibrahim menjadi antara calon ketua jurulatih bagi mengantikan Sathit Bensoh yang dipecat badan induk bolasepak itu 15 Febuari lalu.

Untuk rekod, ketiga-tiga calon jurulatih itu masing-masing berpengalaman mengendali pasukan bolasepak peringkat negara antaranya Dejan pernah membawa skuad kebangsaan Hong Kong pada 2007 manakala Darren mengemudi skuad kebangsaan Maldives pada 2016.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 2:15pm
d