arena

Shahrel Fikri tidak sabar ledak gol

Oleh Azizan Hashim

PENGGEMPUR berbisa Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, tidak sabar untuk turun beraksi apabila menentang Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, petang esok.  

Selepas terpinggir hampir empat bulan akibat kecederaan yang menyaksikannya terlepas tiga perlawanan awal, Penyerang Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2017 itu berkata perasaannya membuak-buak untuk segera beraksi. 

"Bagus untuk kembali. Lama tidak beraksi, geram betul. Dendam saya cukup membara. 

"Bertemu Kuala Lumpur adalah perlawanan sulung saya dalam Liga Super. Saya harap dapat melakukan yang terbaik, " kata pemain yang lebih dikenali sebagai Iki itu.  

Begitupun, Shahrel sedar kerja keras diperlukan memandangkan agak lama dia tidak bersaing di peringkat tertinggi.  

"Kehadiran saya  diharap dapat menyuntik semangat rakan-rakan untuk bersama-sama menghasilkan kejutan," katanya.

Berdasarkan rekod, kelibat Shahrel mampu mengembalikan sinar skuad PKNP selepas hanya berjaya mengutip tiga mata hasil satu kemenangan serta  kalah dua kali.  

Pertembungan dua bekas pasukan Liga Perdana musim lalu itu pasti mempunyai aura tersendiri serta memperbaharui perseteruan antara pemain kedua-dua pasukan.  

Shahrel adalah tonggak utama PKNP sejak 2016 dan memikul tanggungjawab ketua pasukan selain muncul penjaring utama dengan 20 gol sepanjang musim lalu.  

Kehadiran semula kapten mereka itu pasti menyemarak api perjuangan pemain kelab konglomerat itu untuk melakar keputusan memberangsangkan malam esok.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 9:35pm
d