arena

Penerjun negara gagal di Rostock

Oleh Aida Adilah Mat

PENERJUN negara gagal mempamerkan aksi memberangsangkan pada hari pertama Grand Prix Fina di Rostock Jerman apabila Ooi Tze Liang sekadar menamatkan saingan di kedudukan keenam dalam saingan 3 meter papan anjal.

  Bagaimanapun, ia memberi gambaran buat jurulatih terjun yang baru Christian Brooker apa yang perlu diperhalusi sebelum temasya Komanwel bermula April ini.

  Tze Liang mengumpul 403.50 mata pada saingan kelayakan manakala meraih 328.75 mata pada aksi final yang menyaksikan penerjun tuan rumah Patrick Hausding mengungguli saingan selepas mengumpul 493.35 mata.

  Pingat perak menjadi milik penerjun Mexico, Jahir Ocampo yang meraih 479.65 mata manakala gangsa milik Nikita Shleikher dari Russia dengan 443.80 mata.

  Manakala dua lagi wakil negara Muhammad Syafiq Puteh dan Muhammad Amsyar Azman gagal menempatkan diri ke kelompok akhir.

  Bagi Brooker, tugasnya baru bermula dengan Grand Prix pertama di Jerman itu tidak boleh dijadikan penilaian untuk mengukur prestasinya membimbing penerjun negara.

  Katanya, penerjun lelaki negara ketika ini menunjukkan aksi konsisten dan beliau berpuas hati dengan peningkatan terjunan yang dipamerkan.

  “Saya gembira dengan prestasi Tze Liang apabila berjaya layak ke final. Dia berdepan barisan penerjun terbaik dunia buat pertama kali dalam aksi grand prix (GP).

  “Tze Liang juga mencuba terjunan baru di GP ini sebagai persediaan untuk ke Komanwel dan ia sesuatu yang baik untuknya.

  “Amsyar bagaimanapun tidak bernasib baik apabila gagal ke pentas akhir namun dia menunjukkan aksi konsisten selain prestasinya juga semakin meningkat,” katanya.

  Skuad terjun negara mempertaruhkan empat penerjun terdiri daripada Tze Liang, Amsyar, Syafiq dan Chew Yiwei yang akan beraksi dalam acara 3m terjun seirama, 10 platform individu dan seirama selepas ini.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 10:27pm
d