arena

Sabah tolak tuah

Oleh Ryan Stanley

KEGAGALAN Lee Gil Hoon menyempurnakan sepakan penalti di saat akhir perlawanan menyaksikan Sabah terpaksa berkongsi mata dengan Sarawak apabila terikat 1-1 dalam aksi liga di Stadium Likas, malam tadi.

Skuad kendalian Jelius Ating itu hampir menceriakan kira-kira 10,000 penyokong tuan rumah apabila diberikan sepakan penalti oleh pengadil selepas bola terkena tangan pertahanan Sarawak, Mohd Sabre Mat Abu di masa kecederaan.

Bagaimanapun, sepakan pemain import dari Korea Selatan itu terkena palang sekali gus membolehkan Sarawak pulang dengan satu mata dari gelanggang lawan.

Terdahulu, Sarawak terlebih dulu mendahului tuan rumah hasil jaringan Mateo Roskam pada minit ke-19 dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, Sabah garang memburu gol penyamaan dan berjaya memperolehinya pada minit ke-54 hasil tandukan Ramos selepas mendapat hantaran cantik daripada Maxsius Musa bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Kedudukan itu kekal sehingga pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria meniupkan wisel penamat dengan pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu kini mengumpul lapan mata daripada empat perlawanan, hasil dua kemenangan dan dua seri.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 11:37pm
d