arena

Chew Yiwei, Tze Liang raih gangsa

Oleh Aida Adilah Mat

GANDINGAN mantap penerjun berpengalaman negara Ooi Tze Liang bersama Chew Yiwei menghadiahkan pingat gangsa kepada negara pada hari kedua Kejohanan Terjun Grand Prix Fina di Rostock Jerman.

  Tze Liang dan Yiwei mengumpul 387.54 mata keseluruhan selepas enam terjunan dalam acara 3 meter terjun seirama yang menyaksikan pasangan China, Wang Zong Yuam dan Hu Zijie mengungguli saingan untuk merangkul emas selepas meraih 422.37 mata.

  Perak milik pasangan adik-beradik dari Britain, Ross dan Jack Haslam dengan 407.46 mata.

  Kejayaan itu mampu menjadi tonik berharga buat penerjun negara selepas menempuhi hari yang suram kelmarin.

  Bagi Yiwei, pencapaian itu permulaan yang baik buat kontinjen negara yang kini dalam persiapan menghadapi temasya Sukan Komanwel di Australia, bulan depan.

  “Kita negara kecil tapi mempunyai impian besar dan saya sangat teruja untuk melakukan lebih baik pada masa akan datang.

  “Berdepan dengan jaguh dunia dan penerjun handalan negara lain memberikan pengalaman bermakna buat kami.

  “Justeru, saya harap dapat mengekalkan rentak apabila turun dalam acara 10 meter platform nanti,” katanya.

 

Disiarkan pada: February 25, 2018 @ 5:53pm
d