arena

Jabat tangan tanda damai

Oleh AFP

MANCHESTER: Pengurus Manchester United Jose Mourinho percaya adalah penting buat beliau dan rakan sejawatannya di Chelsea Antonio Conte melupakan perbalahan mereka dengan bersalaman sebelum dan selepas perlawanan yang menyaksikan kemenangan United 2-1 semalam.

Pertelagahan Mourinho dan Conte mencapai kemuncaknya bulan lalu apabila jurulatih Portugal itu memetik pertuduhan yang dibawa Persekutuan Bolasepak Itali pada 2012 bahawa Conte gagal melaporkan insiden mengatur perlawanan membabitkan kelab lamanya Siena pada musim 2010-11.

Conte yang pernah mengendalikan Juventus menerima hukuman awal penggantungan 10 bulan yang kemudiannya dikurangkan kepada empat bulan sebelum kes itu digugurkan pada 2016.

Conte membalasnya dengan memanggil Mourinho ‘lelaki kerdil’ namun kedua-duanya saling tersenyum sebelum perlawanan dan berdakapan selepas itu apabila United bangkit daripada ketinggalan untuk menang di Old Trafford hasil jaringan Romelu Lukaku dan Jesse Lingard.

“Saya fikir berjabat tangan tidak perlukan kata-kata,” kata Mourinho.

“Saya fikir itulah yang mahu saya dan Antonio tunjukkan kepada semua.

“Berjabat tangan sebelum dan selepas perlawanan adalah satu contoh bahawa dalam bola sepak anda perlu teruskan kehidupan dan saling menghormati satu sama lain.

“Mourinho dan Conte bukan orang biasa dalam bola sepak. Kami mempunyai sejarah, imej dan saya gembira dengannya.”

Conte pula tidak berlebih-lebihan ketika ditanya sama ada dia dan Mourinho memutuskan untuk berdamai sebelum perlawanan itu.

“Dia mahu melihat kami berjabat tangan dan kami berdamai,” kata jurulatih Itali itu.

Disiarkan pada: February 26, 2018 @ 8:53am
d