arena

'Serampang dua mata'

Oleh Zulfaizan Mansor

KETUA jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee bukan hanya memberi fokus kepada skuad utama Atletico Madrid, sebaliknya akan turut ‘mengkaji’ struktur pembangunan akademi dan skuad belia kelab Sepanyol itu.

Kim Swee dan penolongnya, Brad Maloney berlepas ke Madrid awal pagi tadi untuk berguru selama sebulan di bumi Sepanyol hasil kerjasama baik antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan La Liga.

Selain menimba ilmu bersama Atletico Madrid, Kim Swee dan Maloney juga dijangka melihat sendiri bagaimana persediaan pasukan kebangsaan Sepanyol dengan skuad La Roja dijadualkan berdepan Jerman dan Argentina dalam aksi persahabatan, bulan depan.

“Sejurus tiba di sana kami akan bersama Atletico Madrid terlebih dulu dan pada pertengahan Mac, kami juga berpeluang untuk melihat sendiri skuad kebangsaan Sepanyol bagi aksi perlawanan persahabatan antarabangsa.

“Malah, kehadiran Brad bersama saya juga bakal memudahkan lagi tugas di sini (Sepanyol) kerana banyak perkara yang akan dilakukan bagi mencapai objektif FAM dan presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Ketika ke Queens Park Rangers (QPR) tahun lalu pun saya bersama Brad dan saya fikir kali ini juga kami boleh membahagikan tugas dengan lebih baik terutama apabila ada sesi yang mungkin serentak,” katanya.

Peluang keemasan itu diberikan FAM kepada Kim Swee selepas beliau berjaya mengemudi skuad B-23 mencipta sejarah apabila mara hingga ke suku akhir Kejohanan AFC di China, bulan lalu.

Selain itu, Kim Swee menjelaskan, tugas untuk memantau perkembangan pemain muda di Malaysia akan diserahkan kepada tiga lagi pembantunya, Khan Hung Meng, Chris Yong dan Reuben Jude.

Katanya, skuad muda negara akan mengharungi aksi persahabatan yang turut menjadi sebagai persediaan untuk Sukan Asia di Palembang dan Jakarta pada Ogos ini.

“Kami sudah mula memantau skuad Piala Presiden minggu lalu dan ia akan diteruskan oleh Hung Meng, Chris dan Reuben. Mereka akan memantau dan memanggil pemain pada 18 Mac di mana penilaian peringkat pertama membabitkan pemain B-21.

“Saya akan pulang ke tanah air pada 25 Mac ini dan selepas itu akan mengadakan sesi bersama barisan pemain sebelum aksi persahabatan pada 27 Mac,” katanya.

Disiarkan pada: February 26, 2018 @ 11:55pm
d