arena

FELDA United belasah JDT II

Oleh Rizar Mohd Noor

 

FELDA United mengukuhkan kedudukan teratas liga selepas melakar kemenangan keempat berturut-turut apabila menewaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 4-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Di awal babak pertama percubaan pertama tuan rumah mencemaskan pelawat pada minit keempat tetapi bola rembatan Damasceno Murilo sempat ditampan penjaga gol FELDA United, Farizal Harun.

Namun pelawat terlebih dahulu membuka jaringan selepas bola umpanan Thiago Augusto ditolak Gilberto Fortunato untuk menewaskan penjaga gol JDT II, Samuel Sommerville pada minit kelapan.

Selang dua minit kemudian, anak didik B Satiananthan terus menghukum kealpaan benteng pertahanan tuan rumah apabila berjaya meletak kedudukan selesa 2-0 menerusi Wan Zack Haikal Wan Nor.

Tuan rumah yang ketinggalan mula menggandakan asakan untuk cuba merapatkan jurang gol namun gerakan yang dimulakan Murilo menerusi larian pantas di sayap kanan sering menjadi mangsa terjahan keras benteng pertahanan pelawat.

Bagaimanapun perlawanan membabitkan JDT II dan FELDA United gagal dikawal dengan baik oleh pengadil perlawanan, Atan Aman yang tidak konsisten membuat keputusan menyebabkan aksi itu tidak lancar dan sering terhenti beberapa minit pada babak pertama.

Peluang terbaik tuan rumah merapatkan jurang gol terlepas pada minit ke-54 apabila bola umpanan Murilo membuka ruang buat Nicolas Fernandes yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti, namun bola sepakan deras sekadar singgah di palang gol ketika Farizal sudah tertewas.

Memasuki minit ke-58, gol yang dinanti tuan rumah menjelma selepas bola sepakan sudut Fernandez tepat kepada Che Rashid Che Halim yang menanduk bola masuk menewaskan Farizal.

Skuad The Fighters menyentap semangat juang anak didik Benjamin Mora pada minit ke-68 selepas bola sepakan lintang pemain gantian Wan Amirul Afiq yang disudahkan Augusto menewaskan Sommerville

Pemain gantian Christie Jayaseelan melengkapkan malam gemilang FELDA United selepas menjaringkan gol ketika aksi berbaki lima untuk ditamatkan sekali gus menoktah kemenangan 4-1 di gelanggang lawan.

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 12:40am
d