arena

Slot panas perseorangan wanita ke Komanwel

Oleh Fabian Peter

 

KUALA LUMPUR: Kejohanan Badminton Kebangsaan Celcom Axiata menjadi medan pemilihan terakhir untuk baki pemain mengisi skuad badminton negara yang akan ke Sukan Komanwel Gold Coast April depan.

Difahamkan, setakat ini barisan pemain untuk temasya kedua terbesar dunia itu sudah diputuskan kecuali bagi perseorangan wanita, dengan tarikh tutup penyertaan pada 7 Mac ini.

Perebutan untuk slot itu kini menjadi buruan antara pemain nombor satu negara Soniia Cheah dan juara remaja dunia 2015 Goh Jin Wei.

Soniia, adalah pilihan utama untuk Kejohanan Badminton Kebangsaan, manakala Jin Wei muncul selaku pilihan kedua.

Soniia, apabila dihubungi semalam mengakui dia sedang mengejar masa untuk kembali mencapai prestasi terbaik, tetapi akan melakukan yang terbaik untuk memikat ketua jurulatih Tey Seu Bock.

"Keadaan saya tidak begitu baik sejak beraksi pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Alor Setar, awal bulan ini.

"Keputusan akhir terletak di tangan jurulatih, jadi harapan saya adalah beraksi baik, dan mungkin mendapat tempat ke dalam skuad Sukan Komanwel," kata Soniia, yang membuka kempen pada Rabu ini menentang pemain kelayakan R Shalini dari Selangor.

Jin Wei, yang turut bergelut dengan masalah prestasi sejak memenangi emas di Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu, beraksi menentang seorang lagi pemain kelayakan Samin Arena daripada Sabah.

Setakat ini pemain wanita yang sudah mengesahkan tempat ke Gold Coast adalah Chow Mei Kuan, Vivian Hoo, Shevon Lai dan Goh Liu Ying.

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 12:55am
d