arena

Penantian PKS Uniten-KPT berakhir

Oleh Naqib Nor Said

 

KUALA LUMPUR: PKS Uniten-KPT akhirnya menamatkan kemarau gelaran selama dua tahun apabila bergelar juara Liga Hoki Wanita Malaysia 2018 dengan mengatasi Penang Juniors 8-0 dalam aksi terakhir liga di Stadium Hoki Bukit Jalil, sebentar tadi.

Bagaimanapun kejayaan itu diraih dengan cara yang sukar apabila mereka sekadar bergelar juara menerusi perbezaan gol selepas Blue Warriors turut mencatat kemenangan 3-1 ke atas Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) dalam satu lagi aksi.

Dengan keputusan itu, bermakna kedua-dua pasukan menamatkan saingan bersama 30 mata tetapi Blue Warriors sekadar mengekalkan status naib juara selepas dipisahkan 13 gol sekali gus terus kempunan gelaran yang mula dipertandingkan pada kempen 2015.

Dalam aksi ‘berat sebelah’ petang tadi, Penang Juniors yang menamatkan saingan musim ini di tangga tercorot liga mudah dibedal PKS Uniten menerusi jaringan Ellya Syahirah Ellias pada minit ke-14, Hanis Nadiah Onn (m-15, 50), Nuraini Rashid (m-38, 48), Nabihah Mansur (m-41, 57) dan Fatin Shafika Sukri (m-54).

Sementara itu, Blue Warriors terus mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang musim ini apabila melakar kejutan mengatasi juara bertahan TLHT 3-1 dalam aksi di Stadium Hoki Batu Burok.

Tiga jaringan skuad kendalian Zulkhairi Ariffin itu disumbangkan oleh Nadia Abd Rahman pada minit ke-35, Nurul Aida Razak (m-42) dan Siti Zulaikha Hussin (m-48) selepas terlebih dulu ketinggalan kepada TLHT menerusi jaringan penyerang Norazlin Sumantri seawal minit ke-13.

MSN Kedah pula mengelak mengakhiri saingan di kedudukan dua tercorot apabila membenam cabaran UiTM 2-0 menerusi jaringan penyerang negara Nuramira Syakirah Zulkifli pada minit ke-20 dan Nur Afiqah Syazani Azhar (m-50).

Saingan selepas ini akan bersambung dengan cabaran separuh akhir Piala Vivian May Soars yang hanya menjadi buruan empat pasukan teratas liga - PKS Uniten, Blue Warriors, TLHT dan KL Wipers.

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 1:06am
d