arena

Gol Reus dicemari protes penyokong

Oleh AFP

BERLIN: Marco Reus kembali menemui sentuhannya dengan menyumbang satu gol biarpun Borussia Dortmund terikat 1-1 dengan Augsburg dalam aksi liga yang terus dicemari protes penyokong yang enggan perlawanan Bundesliga berlangsung pada Isnin.

Cuaca sejuk di Signal Iduna Park menambah suram perlawanan meskipun kesebelasan bimbingan Peter Stoeger itu menambah bilangan aksi tanpa tewas kepada sembilan perlawanan setakat ini.

Gelanggang yang lazimnya boleh dipenuhi seramai 24,500 penonton hanya separuh penuh dengan mereka yang hadir melakukan protes tanpa sebarang sorakan sebaliknya memilih untuk senyap.

“Kami boleh menerima dan menghormati banyak penyokong kekal di rumah, kami juga tidak setuju dengan sebarang tambahan hari perlawanan dan akan membawa perkara ini kepada Liga Bolasepak Jerman (DFL),” kata jurucakap stadium Norbert Dickel, sebelum sepak mula aksi berkenaan.

“Kami hanya bermain pada Isnin dengan alasan kesukanan,” katanya.

Suasana suram di Dortmund itu lanjutan insiden protes dilakukan penyokong Eintracht Frankfurt minggu lalu yang melontar bola tenis ke dalam padang ketika pasukan itu melayan RB Leipzig dalam aksi pertama yang dilangsungkan pada Isnin.

Begitupun, bintang Jerman, Reus memiliki banyak peluang untuk meraikan jaringan sejak pulih daripada pembedahan lututnya yang cedera ketika mengharungi final Piala Jerman Mei lalu.

Namun keputusan seri itu menyaksikan Dortmund di tangga kedua masih jauh ketinggalan berbanding Bayern Munich dengan beza 19 mata biarpun Bayern turut terlepas dua mata ketika diikat Hertha Berlin, Sabtu lalu.

Dortmund membuka jaringan pada minit ke-16 hasil gerakan trio antarabangsa Jerman terdiri Mario Goetze, Andre Schuerrle dan Reus yang dikenali sebagai ‘Made in Germany’.

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 8:19am
d