arena

Mansuh peraturan playoff 18 lubang

Oleh AFP

NEW YORK: Persatuan Golf Amerika Syarikat (USGA) mengumumkan sudah memansuhkan peraturan playoff 18 lubang bagi empat kejohanan terbuka anjurannya sebagai memenuhi permintaan pihak yang mahu semua aksi penentuan tamat pada Ahad.

USGA berkata mulai sekarang, juara Kejohanan Terbuka AS, Terbuka Wanita AS, Terbuka Senior AS dan Terbuka Wanita Senior AS akan ditentukan menerusi agregat dua lubang seandainya kedudukan pemain terikat selepas tamat 72 lubang.

“Kami faham betapa penting untuk warga golf dunia menyaksikan pertarungan utama dunia ditamatkan pada Ahad,” kata Ketua Pegawai Eksekutif USGA, Mike Davis.

“Selepas menerima maklum balas daripada pelbagai institusi, temasuk pemain, peminat, sukarelawan, pegawai dan rakan penaja, ia jelas semua pihak mendapat faedah daripada perubahan peraturan ini,” katanya.

Dalam sejarah 117 tahun penganjuran Terbuka AS, kejohanan itu 33 kali pernah ditamatkan menerusi playoff masing-masing menggunakan format 18 dan 36 lubang.

Juara playoff terakhir membabitkan Tiger Woods, yang menang selepas mengatasi Rocco Mediate di lapangan Torrey Pines pada Kejohanan Terbuka AS 2008 menerusi kiraan ‘sisih menang’ (sudden death) selepas aksi palyoff 18 lubang juga berakhir dengan seri.

Menurut USGA, format agregat dua lubang akan diguna pakai dalam semua kejohanan anjuran mereka bagi menentukan pemenang jika kedudukan terikat.

Menurut peraturan itu, jika kedudukan playoff itu juga berakhir seri, maka pemain akan mengharungi playoff lubang ke lubang.

“Tidak ada cara salah atau betul dalam menentukan pemenang menerusi format berkenaan, kerana kami sudah menggunakan format playoff agregat dengan baik dalam dua kejohanan Terbuka Wanita AS dan Terbuka Senior,” kata Davis.

“Dua lubang membolehkan pemain membaiki kesilapan pertama dan pada masa sama memberi peluang kepada mereka yang terbabit merakam memori, dan mungkin juga pengalaman dramatik.”

Perubahan itu selaras dengan peralihan format Kejohanan Terbuka AS yang menyaksikan siri Masters itu memansuhkan format playoff 18 lubang pada 1976, disusuli Kejohanan PGA tahun berikutnya.

Terbuka British pula menukar format playoff empat lubang pada 1986.

Kejohanan Terbuka AS tahun ini dijadual berlangsung di Shinnecock Hills di New York mulai 14 hingga 17 Jun.

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 12:02pm
d