arena

'Tiada pemain lebih besar daripada kelab'

Oleh Zulfaizan Mansor

JURULATIH sementara skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi mengingatkan semua pemain serta kakitangannya bahawa ‘tiada sesiapa pun yang lebih besar daripada kelab’.

Kenyataan Longhi yang disiarkan di laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, hari ini dipercayai merujuk kepada tindakan penyerang import, Jorge Pereyra Diaz yang didakwa menghilangkan diri daripada kelab itu, kelmarin.

Longhi dilantik sebagai jurulatih sementara skuad Harimau Selatan, selepas peletakan jawatan secara mengejut oleh ketua jurulatih Ulisses Morais, kelmarin.

“Saya mengambil tanggungjawab ini dengan positif walaupun sedih apabila Ulisses Morais tidak lagi bersama kami. Bagaimanapun, agenda dan polisi kelab harus diteruskan.

“Bukan sahaja untuk menjaga falsafah dan agenda JDT, tetapi juga yang paling mustahak adalah polisi kelab.

“Saya harus mengingatkan yang semua pemain termasuk barisan staf perlu menghormati polisi kelab, dan tiada orang lebih besar daripada kelab. Itu adalah keutamaan saya,” katanya. 

Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, hari ini mengesahkan Diaz meninggalkan hotel penginapan pasukan pada jam 12 tengah malam kelmarin di Singapura, sebelum pasukan berlepas ke Vietnam untuk perlawanan Piala AFC.

Ia satu lagi tamparan hebat yang terpaksa dihadapi juara Liga Super itu dengan mereka kini menggalas misi memburu kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Piala AFC berdepan Song Lam Nghe An FC, esok.

JDT kini menghuni tangga teratas Kumpulan H, selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas kelab Indonesia, Persija Jakarta di Stadium Tan Sri Hassan Yunos pada 14 Februari lalu.

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 6:08pm
d