arena

Buffon sedia kembali daripada persaraan

PENJAGA gol legenda Itali, Gianluigi Buffon mengesahkan bersedia untuk keluar daripada persaraan antarabangsa sekiranya dipanggil untuk aksi persahabatan menentang England dan Argentina.

Buffon sebelum ini mengumumkan persaraan selepas Itali gagal layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun, apabila tewas di tangan Sweden pada penentuan play-off.

Namun pengendali sementara Azzurri, Luigi Di Biagio berkata, beliau sedia memanggil semula Buffon untuk aksi persahabatan menentang Argentina dan England di Manchester dan London pada 23 dan 27 Mac ini.

“Saya baharu berfikir untuk pergi bercuti bersama keluarga, tapi apabila pasukan negara anda memerlukan, anda mesti hadir dan tidak menolaknya,” kata Buffon.

Penjaga gol Juventus berusia 40 tahun itu sudah menabur bakti selama 20 tahun bersama Itali, memenangi Piala Dunia 2006 dan membuat 175 penampilan.

“Saya tidak perlu menambah apa yang diperkatakan oleh Di Biagio selain berasakan ia sebagai satu tanggungjawab untuk saya membantu pasukan negara yang dalam proses transisi.

“Pasukan baharu Itali sedang dibentuk dan ia bukannya perlawanan sulung yang mudah kerana kami akan berdepan Argentina dan England.” - AFP

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 11:31pm
d