arena

Swansea bedal Sheffield

Oleh AFP

SWANSEA mara ke peringkat suku akhir Piala FA dan dijadual bertemu sama ada Tottenham Hotspur atau Rochdale ketika pengurus, Carlos Carvalhal menewaskan kelab lamanya Sheffield Wednesday 2-0 pada aksi ulangan pusingan lima, awal pagi tadi.

Carvalhal sebelum ini dipecat oleh Sheffield pada malam Krismas lalu selepas dua setengah tahun mengemudi kelab berkenaan dengan aksi pertama di laman lawan, dua minggu lalu berakhir tanpa jaringan.

Pada aksi pertama lalu, beliau berkata dia lebih rela pertembungan itu ditentukan menerusi penalti berbanding perlawanan ulangan dengan kemenangan memberikan Swansea kemaraan pertama ke suku akhir Piala FA sejak 1964.

Menjadikan misi kekal di Liga Perdana Inggeris sebagai keutamaan, Swansea membuktikan kekuatan mereka sekali pun menyenaraikan barisan kedua menentang kelab Liga Kejuaraan itu.

Begitupun, selepas babak pertama berakhir tanpa jaringan, Carvalhal melakukan dua pertukaran pada babak kedua dengan pemain gantian, Jordan Ayew memecah kebuntuan gol pada minit ke-55.

Nathan Dyer kemudian menamatkan perjuangan Sheffield 10 minit sebelum perlawanan tamat apabila menyumbat masuk bola hantaran Tammy Abraham.

Spurs akan menanti kunjungan Rochdale bagi tempat ke peringkat lapan terakhir di Wembley, awal pagi esok.

Disiarkan pada: February 28, 2018 @ 7:13am
d