arena

Rekod cemerlang Azraai jadi taruhan

Oleh Mohd Amin Jalil

PEMILIHAN Mohd Azraai Khor Abdullah selaku ketua jurulatih Negeri Sembilan diyakini mampu memberi nafas baru kepada skuad berkenaan selepas mereka bergelut untuk mencapai kemuncak prestasi dalam saingan Liga Super setakat ini.

Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, banyak faktor yang mendorong PBNS memilih Azraai sebagai ketua jurulatih.

Katanya, selain berpengalaman luas di pentas saingan liga tempatan dan antarabangsa, Azraai juga pernah membantu Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia pada 2011 selain Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 2012.

"Azraai seorang jurulatih yang berpengalaman dan rekod silamnya yang cemerlang serta pernah menjadi ketua jurulatih kebangsaan, mendorong kita mendapatkan khidmat beliau untuk membimbing pasukan Negeri Sembilan.

"Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kemampuan beliau untuk membawa Negeri Sembilan kembali bangkit dalam saingan Liga Super. Tambahan pula rata-rata pemain yang ada dalam pasukan ketika ini pernah mendapat bimbingan daripada Azraai.

"Ini sudah tentu dapat membantu beliau dalam merencanakan semula struktur permainan pasukan dan diyakini dapat memberikan nafas baru serta keyakinan kepada pemain untuk memberikan persembahan terbaik serta merealisasikan sasaran yang kita tetapkan musim ini," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani kontrak jurulatih baru dengan PBNS, di Wisma Negeri, hari ini.

Azraai yang pernah membawa Kedah mencipta kejuaraan hatrik Piala Malaysia, dilantik menggalas tugas mencabar itu bagi menggantikan Jorg Steinebrunner yang meletakkan jawatan.

Mohamad berkata, pihaknya yakin Azraai mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan baik berdasarkan pencapaiannya dalam melatih pasukan lain sebelum ini.

Justeru, beliau menaruh harapan tinggi kepada pengendali berusia 65 tahun itu untuk meletakkan skuad Hobin Jang Hobin di landasan terbaik Liga Super dan sekurang-kurangnya memenangi satu kejuaraan musim ini.

"Saya harap beliau dapat menyesuaikan diri dengan pasukan dan selesa dalam merencanakan strategi terbaik bagi membina kekuatan baru pasukan Negeri Sembilan.

"Kita menaruh harapan tinggi dan yakin beliau mempunyai kepakaran untuk membina semula prestasi terbaik Negeri Sembilan terutama dalam mendepani cabaran Liga Super," katanya.

INFO

Nama: Mohd Azraai Khor Abdullah

Tempat lahir: Kedah

Pencapaian: Juara Liga Super bersama Kedah 2006/07, 2007/08

Juara Liga Perdana bersama Kedah 2005/06

Juara Piala Malaysia bersama Kedah 2006/07, 2007/08

Juara Piala Malaysia bersama Negeri Sembilan 2011

Juara Piala Sultan Haji Ahmad Shah bersama Negeri Sembilan 2012

Juara Piala FA bersama Kelantan 2015

Disiarkan pada: February 28, 2018 @ 9:21pm
d