arena

Griezmann ledak gol ke-100

Oleh AFP

ANTOINE Griezmann menjaringkan empat gol ketika membantu Atletico Madrid membenam  Leganes 4-0 dalam saingan La Liga awal pagi tadi sekali gus mengurangkan jurang mata kepada pendahulu Barcelona.

Barcelona pula bakal berkunjung ke Las Palmas lewat hari ini sebelum menanti kunjungan Atletico pada Ahad.

Sayap Perancis itu menjaringkan dua gol pada setiap babak sekali gus muncul pemain pertama Atletico abad ini yang melakukan hatrik berturut-turut dalam aksi liga.

Dia juga muncul pemain pertama Atletico menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan sejak dilakukan Radamel Falcao pada 2012 sekali gus merakam jaringan ke-100 untuk kelab sejak menyertainya pada 2014.

Leganes memulakan perlawanan dengan garang namun agak malang mereka gagal menemui sentuhan di depan gol lawan.

Penjaga gol Atletico, Jan Oblak menyelamatkan gawang menafikan cubaan Gerard Gumbau yang terkena palang sebelum Filipe Luis menghalang cubaan Gabriel yang kemudian disambar dan disudahkan dengan cantik oleh Griezmann.

Pemain Perancis itu kemudian memastikan jaringkan keduanya pada minit ke-25 selepas umpanan Koke dan kemudian menambah lagi gol pada babak kedua menerusi tandukan sepakan percuma sebelum Griezmann menyumbat gol keempatnya sekali gus memastikan kesebelasan Diego Simeone menikmati lapan perlawanan dengan kemenangan setakat ini.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 7:40am
d