arena

'Juventus ke final lagi'

Oleh AFP

JUVENTUS menempah tiket ke final Piala Itali buat tahun keempat berturut-turut untuk bertemu AC Milan selepas menang 1-0 ke atas Atalanta pada aksi kedua separuh akhir ketika cuaca bersalji di Turin awal pagi tadi.

Perlawanan pertama berakhir dengan kemenangan 1-0 di Bergamo menerusi jaringan awal Gonzalo Higuain dan Juventus turut memenangi perlawanan kedua apabila Miralem Pjanic meledak penalti pada minit ke-75 selepas Blaise Matuidi dikasari lawan.

Juara tiga kali itu akan berdepan AC Milan yang menewaskan Lazio 5-4 menerusi penentuan penalti di Stadio Olympico selepas perlawanan separuh akhir itu gagal memberikan sebarang gol sebaik berakhir masa tambahan.

Nikola Kalinic hampir menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-117 namun sepakannya tersasar melepasi palang biarpun tidak dikawal sesiapa, membawa perlawanan ke penentuan penalti.

Kemenangan itu melebarkan rekod tanpa kalah jurulatih AC Milan Gennaro Gattuso kepada 13  perlawanan dengan enam kemenangan berturut-turut.

Milan yang pernah menjuarai kejohanan itu lima kali, kali terakhir menjulang gelaran itu pada 2003 namun  menyertai final terakhir mereka dua tahun lalu.

Juventus dan Atalanta sepatutnya beraksi dalam aksi Serie A Isnin lalu tetapi perlawanan itu ditangguhkan akibat salji yang sehingga kini masih turun di Stadium Allianz.

“Terima kasih kepada pemain atas apa yang mereka lakukan hari ini dan musim ini,” kata jurulatih Massimiliano Allegri.

Ia akan menjadi final ke-18 buat Juventus dan anak buah Allegri memburu gelaran Piala ke-13 keseluruhan.

“Kami akan bermain di stadium bersejarah tetapi ia bukan satu obsesi,” kata jurulatih Juventus terhadap usaha menjulang Piala Itali buat kali keempat.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 8:30am
d