arena

Salji jejas sesi ujian F1

Oleh Reuters

JUMLAH salji yang makin tebal menjejaskan sesi ujian hari ketiga Formula Satu di sini semalam apabila lima pemandu berjaya menguji trek licin dengan pemandu McLaren, Fernando Alonso berjaya merakam masa pada sesi berkenaan.

Catatan masa ‘terpantas’ dua minit dan 18.545 saat yang dilakukan Alonso semalam sebenarnya lambat lebih seminit berbanding catatan pelumba Ferrari, Sebastian Vettel yang dilakukan kelmarin.

Pada sesi ujian semalam, Ferrari dan Mercedes tidak menguji jentera masing-masing dengan Ferrari sejak awal mengesahkan tidak akan berbuat  demikian bagi mengelak sebarang risiko.

“Hari ini saya terasa seperti berada di Finland berbanding Sepanyol,” kata pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen. “Semua orang tahu negara saya tidak ada Formula Satu.”

Selain  Alonso, yang menamatkan 11 pusingan, pelumba lain yang sempat tampil ialah Daniel Ricciardo (Red Bul), Brendon Hartley (Toro Rosso), Marcus Ericsson (Sauber) dan Robert Kubica (Williams).

Sesi ujian semalam juga tertangguh selama tiga jam susulan salji yang lebat disusuli hujan memenuhi kawasan trek berkenaan.

“Kami tidak akan berlumba dalam keadaan cuaca begini, jika diteruskan, ia mendatangkan risiko kepada kereta dan pemandu,” kata ketua pasukan Haas, Guenther Steiner.

“Ini adalah sesi ujian pertama untuk musim ini, kita hanya dapat menguji alat ganti kaji dan kita tidak boleh mengambil risiko, cuaca pula kelihatan makin teruk hari ini. Ia sedikit bahang tetapi masih sejuk dan licin.”

Sesi ujian sebenar dijangka tamat lewat hari ini sebelum disambung ke sesi berikutnya di Litar Catalunya minggu depan. Perlumbaan pertama F1 musim ini bermula di GP Australia pada 15 Mac.

Pasukan F1 sudah mengadakan perbincangan untuk melanjutkan sesi ujian sehari lagi untuk sesi kedua tetapi ia hanya boleh dilakukan jika semua pasukan setuju membatalkan ujian hari sebelumnya.

Pengarah McLaren, Eric Boullier berkata dua pasukan membantah cadangan itu yang dianggapnya sebagai “tindakan mementingkan diri dan membazir wang semata-mata.”

Pasukan Williams pula dijadual terbabit dalam satu rakaman filem esok.

Kekecewaan jelas di wajah pelumba Mexico, Sergio Perez, yang sudah lama bersedia bersama Force India sejak kelmarin tetapi gagal menguji kereta baharunya.

Lewis Hamilton pula yang sempat menguji 25 pusingan pada Isnin turut menjadi mangsa keadaan namun sedikit bertuah apabila memberi peluang kepada rakannya Valtteri Bottas menguji jentera baharunya.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 9:50am
d