arena

'Diaz bukan ke Bandung la...'

Oleh Aziman Rosdi

JURULATIH Persib Bandung, Mario Gomez menafikan penyerang Jorge Pereyra Diaz meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT) secara tiba-tiba kerana mahu menyertai kelab Liga 1 Indonesia itu.

Gomez yang juga bekas pengendali JDT mengesahkan setakat ini mereka tidak berhubung dengan Diaz apatah lagi menawarkan sebarang kontrak kepada pemain Argentina itu.

“Saya mendapat tahu berita itu (Diaz meninggalkan JDT) tapi saya tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya.

“Saya juga tidak tahu mengenai Jorge (Diaz) mahu menyertai kelab ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kontroversi melanda JDT apabila Pengarah Teknikalnya, Alistair Edwards dalam kenyataannya menjelaskan, Diaz yang juga penjaring terbanyak Liga Super musim 2016 didakwa meninggalkan hotel penginapan pasukan pada 12 tengah malam kelmarin di Singapura sebelum pasukan berlepas ke Vietnam untuk perlawanan Piala AFC.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kemudian menerusi satu video menjelaskan kemelut yang melanda JDT termasuk tindakan luar jangkaan Diaz adalah berpunca daripada jurulatih kecergasan mereka, Fernando.

Spekulasi timbul dengan mengaitkan Diaz bakal bergabung semula dengan bekas jurulatihnya, Gomez di Indonesia yang kini sedang mempersiapkan pasukan sebelum saingan musim baru liga bermula bulan ini.

“Apa yang saya tahu Jorge (Diaz) di Argentina, tapi selebihnya saya tak tahu,” kata Gomez yang mengakui sedang mencari seorang penyerang bagi melengkapkan senarai pemain pasukannya.

Diaz bagaimanapun dilaporkan tidak boleh menyertai pasukan lain selagi tidak mendapat sijil perpindahan antarabangsa (ITC) dengan semua dokumen perlu diserahkan oleh pasukan lamanya, JDT.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 6:35pm
d