arena

Tingkat penyertaan pengadil muda

Oleh Syafiq Aznan

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) optimis betapa pelantikan 14 pegawai pembangunan pengadil bagi setiap negeri mampu menggalakkan lagi penyertaan pengadil muda dalam profesion berkenaan.

Jelas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh, 14 pegawai terbabit akan bertanggungjawab membantu pembangunan pengadil di peringkat negeri dan memastikan pengadil Kelas 3 mengikuti segala tugasan yang ditetapkan sebelum mereka mengambil peperiksaan Kelas 1.

“Pengadil Kelas 3 memiliki waktu rehat selama dua tahun sebelum boleh mengambil peperiksaan Kelas 1 namun berdasarkan sistem sebelum ini, kita agak ketinggalan terutamanya dari segi pembabitan pengadil muda.

“Selepas selesai mengambil peperiksaan Kelas 3, kebanyakan dari mereka tidak terbabit dengan sebarang perlawanan dan tidak aktif dengan persatuan bolasepak negeri (FA) ketika menunggu untuk mengambil peperiksaan Kelas 1.

“Jadi pegawai pembangunan pengadil akan memantau pengadil yang sudah lulus Kelas 3 supaya mereka dapat terus bergiat aktif. Jadi apabila mereka mengambil peperiksaan Kelas 1 nanti, mereka bersedia untuk sekurang-kurangnya menjadi pengadil Kelas B,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, hari ini.

Setakat ini, FAM memiliki 236 pengadil yang akan ditugaskan untuk mengadili semua peringkat pertandingan termasuklah Liga Super, Liga Perdana, Piala Presiden, Piala FAM dan juga Liga Bolasepak Rakyat (LBR).

Berdasarkan pecahan mengikut kelas, seramai 63 pengadil dalam kategori Kelas A dan A1 sementara 79 pengadil Kelas B dan B1 manakala 98 pengadil lagi adalah pengadil Kelas C dan juga C1.

Mengikut pecahan negeri, Kuala Lumpur memiliki jumlah pengadil paling ramai iaitu 32 orang diikuti Perak dengan 25 orang sementara Selangor serta Melaka masing-masing memiliki 22 pengadil.

Sabah dan Perlis memiliki jumlah pengadil yang paling rendah selepas masing-masing sekadar memiliki lapan dan lima pengadil.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 6:52pm
d