arena

Ujian doping dulu sebelum Komanwel

Oleh Jumiati Rosly

SETIAP atlet negara ke Sukan Komanwel di Gold Coast akan diuji sekurang-kurangnya sekali untuk ujian doping bagi memastikan tiada kes doping timbul pada temasya itu bulan depan.

“Setiap atlet daripada acara individu akan diuji sekurang-kurangnya sekali sementara sukan yang berisiko akan diuji beberapa kali namun, saya tidak mahu nyatakan sukan apa. Anda pastinya tahu.

“Bagi atlet acara berpasukan pula kita akan pilih (siapa untuk menjalani ujian doping). Bukan semua tetapi hampir kesemuanya,” kata Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz selepas menghadiri sidang media Pameran Kecergasan dan Sukan Antarabangsa (MISFIT) di sini hari ini.

Antara sukan yang berisiko dalam positif penggunaan doping adalah daripada sukan angkat berat yang sering menggunakannya sebagai jalan pintas untuk menambah kekuatan.

Ramlan berkata buat masa ini atlet berbasikal sudah menjalani ujian doping ketika Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Nilai, bulan lalu.

Menurutnya, ADAMAS juga kini mengambil inisiatif mendekati atlet dengan lebih rapat dalam suasana tidak formal untuk memberi pendidikan tentang doping.

“Kita buat inisiatif untuk mengadakan lebih banyak lawatan bertemu atlet bagi berinteraksi sambil memberi nasihat, panduan dan berkongsi sedikit pengalaman yang kami ada.

“Ini supaya atlet merasa lebih dekat dengan ADAMAS dan merasakan tanggungjawab mereka sebagai salah seorang atlet antarabangsa,” katanya.

Sehingga hari ini seramai 175 atlet disenaraikan ke Sukan Komanwel namun angka sebenar kontinjen negara hanya akan diketahui Selasa depan.

Terdahulu MISFIT 2018 akan dianjurkan buat julung jalinya dengan pameran selama tiga hari itu akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 3-5 Ogos dan juga pada 5-7 Oktober di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Baharu.

MISFIT 2018 yang bakal mengadakan pelbagai program akan mengumpulkan pelbagai pihak dalam industri sukan, kecergasan dan juga kesihatan dalam negara dan juga antarabangsa.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 9:31pm
d