arena

Tak puas hati, boleh ke CAS

Oleh Helmi Talkah

DUA pemain badminton profesional negara, disyaki terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan, boleh mengheret kes mereka ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) jika tidak berpuas hati dengan keputusan bakal dibuat Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Menurut sumber yang juga seorang peguam, tiada halangan untuk kedua-dua pemain berkenaan melakukan tindakan itu sekiranya merasakan mereka tidak mendapat keadilan sewajarnya.

 “Kalau mereka rasa itu boleh membantu mereka mencari keadilan yang sepatutnya, jadi tiada masalah. Mereka boleh mencabar kes berkenaan di CAS atas apa juga alasan.

 “Cuma, mereka perlu maklumkan kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia) sebagai badan induk yang bertanggungjawab terhadap sukan badminton negara mengenai tindakan mereka itu,” kata sumber berkenaan ketika dihubungi, hari ini.

Kedua-dua pemain terbabit berdepan dengan enam tuduhan mengatur perlawanan dalam enam kejohanan berbeza antara 2013 hingga 2016 susulan laporan dibuat seorang pemain bukan dari Malaysia kepada BWF.

BWF melantik tiga ahli panel bebas bagi mengadili kes berkenaan menerusi sesi pendengaran yang berlangsung dua hari di Singapura, Isnin dan Selasa lalu.

BWF masih tidak mendedahkan nama kedua-dua pemain yang disyaki itu, namun kelibat bekas juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli dan bekas pemain skuad Piala Thomas 2010, Tan Chun Seang dapat dilihat sepanjang dua hari sesi pendengaran berlangsung.

 Difahamkan, BWF akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan kes itu dalam tempoh tiga minggu sebaik menerima laporan penuh daripada panel.

Mengulas lanjut, sumber berkata, kedua-dua pemain terbabit perlu berbelanja besar jika memutuskan untuk mengheret kes itu ke CAS yang berpangkalan di Lausanne, Switzerland.

“Sudah pasti ia menelan belanja yang tinggi. Selain itu, peguam kedua-dua pemain juga perlu menyiapkan dokumen lengkap bagi membolehkan mereka mendapat pertimbangan CAS untuk membicarakan kes itu,” katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 10:10pm
d