arena

Fahami status pasukan 'feeder'

Oleh Rizar Mohd Noor

KETUA Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam mahu penyokong faham dengan status pasukan ‘feeder’ yang digunakan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Terengganu FC II (TFC II) dalam kancah saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Katanya, pemain yang beraksi dalam saingan Liga Super dan kemudian diturunkan ke Liga Perdana masih boleh bermain kerana tarikh tutup jendela perpindahan belum berakhir.

“Siapa saja boleh beraksi sebelum tarikh perpindahan berakhir dan tiada isu mengenai apa yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak dan saya amat kecewa dengan dakwaan itu.

“Untuk makluman, pemain boleh beraksi dengan mana-mana pasukan. Sebagai contoh, pemain boleh beraksi dengan pasukan A dan kemudian bermain dengan pasukan B kerana dalam tempoh itu jendela perpindahan masih terbuka.

“Semua pasukan sudah bersetuju apabila ada pasukan feeder dalam saingan Liga M dan mereka faham dengan syarat mengenai perkara berkenaan malah tiada bantahan. Kenapa ada suara-suara dari luar yang mempertikaikannya?” katanya.

Musim ini, hanya JDT II dan TFC II yang menggunakan konsep pasukan feeder dalam saingan Liga M dan prinsip utama kedua-dua kelab itu adalah sebagai sokongan kepada pasukan utama iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC I (TFCI).

Kevin menambah, kedua-dua pasukan itu boleh membuat pertukaran pemain antara pasukan utama dan pasukan [feeder’ malah ia sudah lama diamalkan di liga Eropah serta tidak salah untuk diperkenalkan di dalam kancah bola sepak Malaysia.

“Pada mesyuarat ahli lembaga pengarah FMLLP tidak lama lagi, saya akan memohon untuk membuat pencerahan untuk tidak lagi menggunakan perkataan [feeder’ dan saya tidak boleh tukar kerana ia dalam ‘manual’ Liga M dan perlu mendapat persetujuan ahli lembaga pengarah.

“Mungkin saya akan cadangkan nama ditukar kepada pasukan simpanan (reserve team) dan ia beri ruang kepada pemain lain yang tidak dapat beraksi dalam pasukan pertama untuk mendapat tahap kecergasan perlawanan (match fitness),” kata Kevin.

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 12:27am
d