arena

'Juventus lebih hebat dari PSG'

Oleh AFP

BLAISE Matuidi mendedahkan bahawa beraksi bersama Juventus memberikan ‘dimensi baru’ berbanding kelab terdahulu Paris Saint-Germain dan mendakwa pemain Perancis yang lainnya bersikap terlalu selesa.

Matuidi, 30, berpindah ke Itali dari Perancis musim panas lalu, bercakap kepada rakan sepasukannya Mehdi Benatia di saluran YouTube, Bros Stories.

“Apa yang mengejutkan saya sebaik tiba di sana adalah sewaktu melalui Muzium Juventus dan terfikir ‘wow, banyaknya trofi’, “ kata Matuidi.

“Itulah ketikanya di mana saya sedar saya memasuki satu dimensi baru. Kami orang Perancis terlalu selesa. Kami memberitahu kami mempunyai pemain yang bagus tetapi tidak mahu berusaha memperbaikinya.

“Sewaktu berada di Paris, saya tidak tergerak untuk pergi ke gimnasium. Di sini, selepas lima minit di bilik persalinan jika anda lewat lima minit ke gimnasium, ada orang yang akan mengambil anda.

“Ia bukan satu rahsia. Jika Juve beraksi dalam dua final Liga Juara-Juara dalam tempoh tiga tahun, ia disebabkan kerja keras.

“Saya mempunyai hubungan yang baik dengan Paris Saint-Germain, tetapi apabila bercakap mengenai sejarah, membabitkan kelab dan institusi, saya fikir Juve masih satu langkah di hadapan.”

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 7:31am
d