arena

'Inter Milan kian merudum'

Oleh AFP

PEMILIK kelab Inter Milan dari China menafikan mereka mengalami masalah kewangan yang teruk hingga boleh mengakibatkan kelab tersohor Itali itu tergelincir dari saingan Serie A.

Menurut laporan akhbar kewangan, Il Sole 24 Ore, Inter kini beroperasi di bawah bajet yang tidak seimbang.

Namun Inter dalam kenyataan balasnya berkata: “Laporan berkenaan tidak tepat dan mengelirukan dan menjejaskan imej kelab berkenaan yang mematuhi semua undang-undang di Itali selain selaras dengan peraturan kewangan ditetapkan FIGC.”

“Inter Milan juga mahu menyatakan dengan jelas bahawa laporan kewangan terperinci dan maklumat komprehensif mengenai penyata kewangan kelab mematuhi Kod Awam Itali.”

Hartawan China, Zhang Jindong yang memiliki Kumpulan Suning membayar hampir 270 juta euro (RM 1.2 bilion) untuk Inter pada Jun, tahun lalu.

Tetapi akhbar Il Sole melaporkan bahawa jumlah hutang kelab berkenaan kini meningkat kepada 637.56 juta euro (RM3 bilion) iaitu peningkatan sebanyak 150 juta euro (RM720 juta) berbanding tahun sebelumnya.

Kelab itu juga dilaporkan berhutang 208 juta euro (RM998 juta) dengan bank manakala perlu mengeluarkan 220 juta euro (RM1 bilion) untuk membayar dividen kepada pelabur.

“Kelab akan mengambil semua langkah kewangan yang perlu selaras dengan peraturan kewangan kelab yang telah ditetapkan dan perlu melindungi imej kelab dan sekali lagi menegaskan bahawa maklumat kewangan dalam penyata laporan kewangan adalah benar.”

Inter Milan ketika ini berada di tangga keempat Serie A, dengan 18 mata di belakang pendahulu,  Napoli. - AFP

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 8:23am
d