arena

Tak capai standard Arsenal

Oleh AFP

PENGURUS Arsenal Arsene Wenger menggesa pemainnya supaya membuktikan mereka mampu menepati standard kelab itu selepas kali kedua tewas kepada Manchester City 0-3 dalam tempoh lima hari awal pagi tadi.

City melonjak 16 mata di puncak Liga Perdana Inggeris selepas menjulang gelaran pertama dalam era Pep Guardiola menerusi final Piala Liga Ahad lalu, di mana pasukan pelawat menjaringkan tiga gol dalam tempoh 33 minit pertama ketika Arsenal sekali lagi kacau-bilau di depan penyokong sendiri di Stadium Emirates.

Jaringan Bernardo Silva, David Silva dan Leroy Sane memberikan kekalahan ketiga berturut-turut buat Arsenal yang menyebabkan mereka ketinggalan 10 mata daripada kelompok empat teratas Liga Perdana di tangga keenam.

Malah ia malam yang mahu dilupakan Gunners selepas penalti separuh masa kedua daripada pemain termahal kelab yang dibeli pada harga £56 juta (RM303 juta) iaitu Pierre-Emerick Aubameyang berjaya diselamatkan Ederson.

“Anda pergi menaiki tangga dan turun dengan lif, itulah yang berlaku kepada keyakinan anda,” kata Wenger.

“Kita perlu buktikan bahawa tahap permainan kita layak berada di kelab Arsenal.”

Bagaimanapun jurulatih Perancis itu sekali lagi menerima hakikat bahawa kemungkinan tempoh 22 tahun beliau sebagai pengendali akan berakhir dengan kesedihan.

“Saya yakin tiada yang kekal dalam hidup ini,” kata Wenger.

“Ia bergantung kepada tindak balas anda dan fokus serta kesungguhan untuk mengubah nasib pasukan.”

Cuaca di bawah paras beku dan aksi hambar Arsenal di Wembley Ahad lalu menyaksikan ribuan tempat duduk tidak berpenonton di Stadium Emirates.

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 8:26am
d