arena

Hamilton masih terbaik

Oleh Reuters

LEWIS Hamilton dan Mercedes sekali lagi diramal menjadi pilihan memenangi Formula Satu musim ini tetapi Ferrari akan bekerja keras mengatasi mereka, kata pelumba Jerman, Sebastian Vettel semalam.

Persaingan antara dua kelab ternama itu menjadi buah mulut musim lalu sebelum cita-cita Ferrari itu lebur susulan masalah jentera dan kemalangan ketika perlumbaan.

Vettel mendahului carta kedudukan sejak Mac hingga September dengan lima kemenangan tetapi kemudian menang sembilan kemenangan untuk muncul juara dunia kali keempat.

“Saya rasa Mercedes pilihan muncul juara lagi tahun ini, kami hanya boleh merapati mereka dengan sangat rapat, ia tentunya hebat jika berjaya mencapainya,” kata Vettel kepada Sky Sports pada hari terakhir sesi ujian di sini, semalam.

“Tetapi ia tahun perjuangan yang panjang. Sekarang sudah Mac dan kita perlu bersaing hingga November.”

Vettel mengecapi empat kemenangan menerusi Red Bull antara 2010 hingga 2013 dan terpaksa memerhatikan kejayaan Mercedes menguasai F1 sejak empat tahun lalu.

Ferrari gagal memenangi gelaran kategori pelumba sejak kejayaan dilakukan pelumba Finland, Kimi Raikkonen pada 2007, selain terlepas gelaran juara kategori pengeluar sejak 2008.

“Sekarang kami mahu pastikan semua kejayaan itu kembali ke pasukan kami semua. Itulah hasrat dan cita-cita kami untuk membawa semula gelaran kembali ke Maranello,” kata Vettel.

Harapannya jelas mengenai perubahan enjin jenteranya supaya ia benar-benar dapat menghampiri prestasi ditetapkan sekali gus membolehkan saingan dilakukan menjelang 21 perlumbaan musim ini yang bakal bermula di GP Australia pada 25 Mac ini.

Hamilton nyata hebat dengan merakam masa terpantas pada hari terakhir sesi ujian semalam dan turut mencatat masa terpantas peribadi ketika menggunakan tayar medium yang lebih perlahan.

Tetapi Vettel, yang turut merakam masa terpantas Selasa lalu tetap kelihatan bersahaja dan tenang.

“Setakat ini, semua keadaan kelihatan OK, tetapi semua pasukan memiliki masa ujian yang amat terhad, maka amat sukar untuk membuat kesimpulan mengenai keupayaan sebenar anda dan pasukan lain,” katanya.

“Secara terus terang, ia tidak begitu penting buat saya untuk minggu ini. Kita hanya mahu memastikan kereta itu boleh hidup dan bergerak. Tetapi perkara itu pun amat mencabar untuk dilakukan kerana kita tidak dapat menguji pergerakan dengan banyak.”

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 9:56am
d