arena

Wendy tarik nafas lega

Oleh Aida Adilah Mat dan Mohd Khairie Khalid

PENERJUN negara, Wendy Ng Yan Yee boleh menarik nafas lega apabila Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) membuat keputusan untuk hanya menggantungnya lapan bulan.

Penggantungan itu berkuat kuasa pada 26 Ogos 2017, iaitu tarikh sampel B diambil dengan hukuman berkenaan bakal tamat pada 26 April depan.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chan, hari ini.

“FINA sudah memutuskan untuk menggantung Wendy lapan bulan dan tarikh hukuman itu bermula pada 26 Ogos tahun lalu sehingga 26 April 2018.

“Selepas 26 April, dia akan mula menjalani latihan dengan tumpuan diberikan terhadap persiapan Sukan Asia (Jakarta dan Palembang, Indonesia), pada Ogos nanti,” kata Mae, ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Mae berkata berita gembira itu diperoleh melalui kiriman emel daripada FINA, pagi tadi.

Katanya, isu itu sudah selesai dan kini mereka boleh memikirkan mengenai perkara lain.

“Wendy sendiri sudah mengetahui perkara ini,” katanya.

Sebelum ini, ASUM mengesahkan Wendy adalah atlet yang gagal ujian doping ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada Ogos lalu.

Wendy disahkan mengambil bahan terlarang jenis sibutramine selepas sampel B yang uji di makmal Agensi Anti Doping Dunia di New Delhi pada 11 Oktober lalu turut positif.

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 4:47pm
d