arena

Harimau Malaya bebas bookie

Oleh Aziman Rosdi

KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan skuad kebangsaan ‘bersih’ daripada gejala mengatur perlawanan berdasarkan maklumat dikumpul SportRadar tahun lalu.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata, walaupun wujud bukti mengenai gejala mengatur perlawanan membabitkan aksi antarabangsa skuad kebangsaan, ia bagaimanapun tidak membabitkan pemain Malaysia sebaliknya pasukan lawan.

“Kita sudah serah banyak bukti tahun lalu seperti (perlawanan) membabitkan Laos, Kemboja, Malaysia, India, Nepal. Kita tak kira jumlah bukti besar atau kecil, bila ada bukti, kita akan serah kepada persatuan bola sepak negara masing-masing.

“Kita hanya pantau perlawanan antarabangsa Malaysia dengan pasukan lain, bukan Liga Malaysia, jadi kebanyakan perlawanan bukan di pihak Malaysia. Selalunya bookie kalau nak atur perlawanan, mereka mencari pasukan lain yang bermain menentang Malaysia. Tapi sekarang bookie ada macam-macam pertaruhan, bukan hanya menang kalah, jadi itu satu masalah yang besar.

“Buat masa ini kita pantau semua perlawanan antarabangsa yang membabitkan semua pasukan di Asia, tapi bukti yang kita ada bukan pemain Malaysia, tapi lebih kepada mengatur perlawanan membabitkan pasukan yang menentang Malaysia seperti Laos, kemboja, Myanmar dan sebagainya,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Windsor, bukti kes mengatur perlawanan yang diserahkan AFC kepada persatuan bola sepak dan pihak berkuasa negara berkenaan adalah hasil pemantauan agensi SportRadar yang berpengalaman dan mahir mengenai bidang sukan dan pertaruhan secara dalam talian.

Menerusi sistem Fraud Detection System (FDS) yang turut digunakan agensi perisikan dan penyiasatan antarabangsa, SportRadar meneliti pertaruhan luar biasa daripada 450 pengendali judi sukan dunia sebelum atau semasa perlawanan sedang berlangsung sejak 2001.

Untuk rekod tahun lalu, skuad Harimau Malaya mengharungi lapan perlawanan antarabangsa dengan enam kekalahan dan dua seri.

Windsor berkata, berdasarkan bukti diserahkan AFC itu, beberapa negara sudah mengambil tindakan ke atas pemain dan pegawai terbabit.

“Kalau pemain Malaysia tak terbabit, kita tak serah bukti kepada pasukan negara itu. Buat masa ini kita ada kerjasama baik dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). INTERPOL dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) juga sangat aktif dalam membantu memantau kes-kes ini.

“Setiap negara ada perundangan berbeza tapi apa saja bukti yang kita dapat, kita akan serahkan, sebab kami bukan agensi yang boleh mengambil tindakan keselamatan, kita cuma serahkan bukti.

“Baru-baru ini ada kena gantung (pemain) di Laos, Kemboja, Thailand (pengadil), saya tak tahu perlawanan mana, mungkin tak terbabit dengan perlawanan menentang Malaysia, tapi itu antara bukti yang SportRadar serahkan,” katanya.

Tambahnya pemantauan dilakukan AFC dan SportRadar bukan hanya terarah kepada perlawanan antarabangsa skuad senior malah turut membabitkan pasukan belia serta futsal.

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 7:11pm
d