arena

Guardiola tabik Wenger

Oleh AFP

LONDON: Pep Guardiola melahirkan rasa kagumnya terhadap Arsene Wenger selepas skuad kendaliannya sekali lagi membelasah Arsenal buat kali kedua dalam tempoh lima hari, awal pagi tadi.

Kemenangan 3-0 di kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) itu adalah yang kedua berturut-turut buat Gunners sekali gus meningkatkan lagi tekanan ke atas pengendali dari Perancis itu.

Di pentas akhir Piala Liga di Wembley pada Sabtu lalu, Arsenal tumbang dengan keputusan yang sama.

Guardiola meraikan perlawanannya yang ke-100 dengan bergaya apabila Bernardo Silva, David Silva dan Leroy Sane meledak gol dalam separuh masa pertama yang menyaksikan City kini hanya memerlukan lima kemenangan untuk muncul juara.

Dengan tujuh kekalahan dalam 13 aksi sepanjang 2018, kedudukan Wenger kini mula dipersoalkan.

Bagaimanapun, Guardiola percaya rakan sejawatannya itu dapat membuat keputusan yang tepat mengenai masa depannya selepas berkhidmat cukup lama dengan pasukan terbabit.

“Dia tahu betapa saya begitu mengaguminya,” kata Guardiola. Kami bertemu banyak kali ketika saya bersama Barcelona, Bayern Munich dan juga di sini bersama City.

“Saya memahami situasi ini. Saya tahu semua pengurus boleh berada dalam situasi terbabit. Dia sudah pasti tahu cara untuk mengendalikannya kerana dia memiliki banyak pengalaman.”

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 8:41pm
d