arena

Wendy tagih 'semangat' Malaysia

Oleh Aida Adilah Mat dan Mohd Khairie Khalid

DIGANTUNG kerana positif bahan terlarang membuatkan kehidupan penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee bagaikan dipinggirkan.

Paling menyedihkan apabila Wendy kehilangan rakan-rakan yang pernah menjadi teman rapatnya.

Namun semua itu tidak pernah melunturkan semangatnya untuk menanam tekad untuk terus mengharumkan nama Malaysia dalam sukan terjun.

Olimpian negara itu bertekad mahu melupakan segala kenangan pahit itu dan bangkit untuk menjadikan Sukan Asia, Indonesia sebagai pentas kemunculan semula.

“Perkara yang berlaku itu tidak akan membuatkan saya gentar untuk beraksi semula. Hilang kawan tidak membuatkan saya rebah.

“Malah, perkara itu membuatkan saya lebih kuat untuk bangkit semula, memburu lebih banyak kejayaan.

“Saya harap rakyat Malaysia tidak terlalu menghukum saya, sebaliknya terus menyokong dan memberi peluang kepada saya untuk bangkit,” kata Wendy yang terpalit dengan penggunaan sibutramine.

Hari ini, Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengesahkan penerjun itu hanya digantung lapan bulan.

Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) memberitahu melalui emel yang hukuman terhadap Wendy itu berkuat kuasa sejak 26 Ogos 2017 dan bakal tamat pada 26 April depan, bermakna dia bakal terlepas beraksi di Sukan Komanwel Gold Coast, Australia bulan depan, tetapi dapat menyertai Sukan Asia, Ogos ini.

Sepanjang tempoh penggantungan itu, Wendy berkata dia mengambil inisiatif sendiri dengan berlatih bersendirian bagi mengekalkan tahap kecergasan untuk kembali ke dunia terjun.

“Saya harap dapat kembali ke pasukan kebangsaan secepat mungkin. Saya sudah tidak sabar untuk beraksi,” katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 9:36pm
d