arena

Neymar dibedah hari ini

Oleh AFP

Bintang Brazil Neymar tiba di hospital semalam bagi menjalani pembedahan tulang kaki kanan yang menamatkan aksinya bersama Paris Saint-Germain musim ini dan merencatkan persiapan Piala Dunia skuad Brazil.

Pemain termahal dunia itu tiba lewat petang semalam di lapangan terbang Belo Horizonte, Brazil sebelum dibawa ke hospital Mater Dei.

Prosedur pembedahan dijangka dilakukan hari ini, diketuai oleh pakar bedah pasukan kebangsaan Brazil Rodrigo Lasmar.

Menurut Lasmar keretakan tulang metatarsal kelima itu akan menghalang Neymar daripada beraksi untuk dua setengah hingga ke tiga bulan. Dia mengalami kecederaan itu pada 25 Februari ketika kemenangan 3-0 PSG ke atas Marseille dalam saingan Ligue1.

PSG bakal kehilangan penyerang prolifiknya itu - yang perpindahannya dari Barcelona Ogos lalu mencatat rekod tertinggi pada 222 juta euro (RM1.08 bilion) - apabila berdepan Real Madrid pada aksi timbal balik kelompok 16 Liga Juara-Juara Selasa depan.

Kebimbangan turut dirasakan dalam kem Brazil, di mana Neymar adalah sebahagian daripada tonggak utama skuad negaranya yang mengharapkan kejayaan pada kempen Piala Dunia di Russsia Jun ini.

Jose Luiz RUnco, bekas ketua pegawai perubatan pasukan Brazil, memberitahu AFP yang pembedahan itu bukan sesuatu yang sukar.

“Ia hanya mengambil masa sejam atau 90 minit paling lama,” katanya.

Neymar, 26, kelihatan tenang sebaik tiba di Belo Horizonte di mana dia memuat naik gambarnya di atas kerusi roda dan teman wanitanya Bruna Marquezine di atas riba ke Instagram.

Neymar meledak 28 gol dalam 30 penampilan bersama PSG.

Disiarkan pada: March 3, 2018 @ 8:14am
d