arena

'Man City-Chelsea jauh beza'

Oleh AFP

JUARA Liga Perdana Inggeris Chelsea akan bertandang ke Manchester City esok dengan jurang 22 mata berbanding lawan yang akan merampas gelaran mereka dan hanya berjuang untuk berada dalam kelompok empat teratas.

Skuad kendalian Antonio Conte mungkin akan ketinggalan lima mata untuk tiket ke Liga Juara-Juara menjelang perlawanan di Etihad dengan Tottenham Hotspur dan Liverpool berdepan pasukan bergelut Huddersfield dan Newcastle malam ini.

Pengendali dari Itali itu dikatakan bakal meninggalkan Stamford Bridge walaupun Chelsea masih bersaing untuk tiga trofi musim ini.

Conte bagaimanapun memberi isyarat yang kegagalan pasukannya musim ini banyak bergantung kepada kegagalan kelab bersaing dalam pasaran perpindahan, berbeza dengan City yang musim lalu ketinggalan 15 di belakang mereka tetapi kini mendahului selesa ketika masih berbaki 10 perlawanan.

“Apabila anda bekerja dengan baik dan mempunyai hubungan rapat dengan pengurus dan kelab, anda boleh bekerja dengan cara yang anda mahu, cuba untuk meningkatkan pasukan dalam cara terbaik,” kata Conte.

“Manchester City mampu berbelanja besar. Apabila anda berada dalam situasi ini, pengurus yang bagus, bajet besar untuk perpindahan, matlamat yang sama, inilah keputusan akhirnya.”

Sekiranya Conte angkat kaki, dia adalah pengendali kesembilan meninggalkan era Roman Abramovich, dengan Jose Mourinho dan Guus Hiddink masing-masing dua kali membimbing Chelsea sepanjang tempoh itu.

 

Disiarkan pada: March 3, 2018 @ 12:19pm
d