arena

Woods 'mahu' dua

Oleh AFP

BEKAS pemain nombor satu dunia Tiger Woods berkata dia akan menyertai dua kejohanan Jelajah PGA Amerika Syarikat di Florida menjelang Masters bulan depan.

Woods, juara major 14 kali, akan beraksi di Kejuaraan Valspar di Tampa minggu depan diikuti Jemputan Arnold Palmer di Orlando pada minggu berikutnya.

Woods kembali bersaing secara kompetitif selepas pembedahan belakang dan menamatkan saingan Honda Classic bulan lalu di tangga ke-12, tempat ke-23 di Torrey Pines pada Januari dan kesembilan di Cabaran Dunia Hero Disember lalu. Dia bagaimanapun tidak melepasi had kelayakan di Riviera bulan lalu.

“Selepas rehat seminggu saya bertekad bermain di @ValsparChamp dan @APinv dalam dua minggu akan datang,” kata Woods di akaun Twitternya.

Pemain 42 tahun itu mempunyai pilihan terhad menjelang Masters kerana dia tidak layak menyertai siri Kejuaraan Golf Dunia minggu ini di Mexico atau Match Play akhir bulan ini.

Woods dijangka bermain di Bay Hill untuk kejohanan Palmer, di mana dia pernah memenanginya lapan kali tetapi tidak beraksi sejak muncul juara pada tahun 2013, dan terlepas empat edisi terakhir kerana pembedahan belakang.

Ia bakal menjadi penyertaan pertama Woods di Valspar dan acara kompetitif pertamanya di lapangan Copperhead sejak tahun 1996 - di awal karier profesionalnya.

Woods terlepas aksi Masters sejak dua tahun lalu akibat kecederaannya tetapi dijangka bersedia memburu jaket hijau kelimanya di Augusta National bulan depan.

Disiarkan pada: March 3, 2018 @ 12:37pm
d